MUAR: Kementerian Pendidikan sedang meneliti laporan penuh berhubung insiden kebakaran sebuah kilang berhampiran beberapa sekolah di daerah ini bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut dan akan mendapatkan penjelasan lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita akan minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan meneliti perkara ini dan secara keseluruhannya, kita sudah pun mendapat laporan berkaitan apa yang berlaku.
“Ketika ini, semua enam sekolah itu sedang melakukan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) dan laporan perusahaan itu ataupun yang berkait dengan kesan kebakaran itu dalam pendidikan kita dan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan (KPM) tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kementerian akan melihat laporan berkaitan kesan kebakaran tersebut terhadap institusi pendidikan sebelum mengambil langkah selanjutnya.
Pada 24 Februari lalu, media melaporkan sebuah kilang plastik di Jalan Sengkang, Kulai musnah dalam kebakaran namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 4.37 petang itu.
Ekoran kejadian itu, seramai 80 murid daripada dua buah sekolah yang terletak berhampiran menunjukkan gejala kesihatan ringan.
Manakala seramai 1,531 murid daripada dua sekolah rendah diarahkan mengikuti PdPR susulan penutupan sementara sekolah masing-masing selepas insiden kebakaran tersebut.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang serta SJKC Kulai. – UTUSAN




