KPM tidak berkompromi salah laku seksual

KPM tidak berkompromi salah laku seksual

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana bentuk salah laku seksual terutama membabitkan warga institusi pendidikan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil serius kes salah laku seksual membabitkan beberapa murid di sebuah sekolah di Melaka yang kini disiasat oleh polis.

Menurutnya, semua suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan,” katanya.

Kementerian itu menegaskan, tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbukti bersalah tanpa mengira kedudukan atau status.

Dalam masa sama, semua pentadbir institusi pendidikan diingatkan supaya sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang diguna pakai bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah terus terjamin.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.

Lebih menjijikkan perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.

Sumber berkata, kejadian pada 2 Oktober itu terbongkar selepas video aib perbuatan tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru dan seterusnya diketahui ibu mangsa pada petang Jumaat.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa berusia 15 tahun berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains tertinggal.

Sementara itu, dalam kenyataan polis menyatakan keempat-empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan ditahan pada hari sama laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.

“Kesemua suspek direman enam hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top