am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menubuhkan Sekretariat Bersama KPM-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi isu guru mengajar mata pelajaran bukan opsyen mereka.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekretariat ini menyelaras data keperluan guru sebenar di sekolah dan dipadankan dengan data ambilan graduan bakal guru oleh universiti awam.
“Perkongsian data ini adalah langkah strategik yang dapat menangani isu guru mengajar mata pelajaran bukan opsyen mereka,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Ser Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) di Parlimen.
Beliau berkata, penugasan guru untuk mengajar mata pelajaran yang bukan ospyen adalah berdasarkan keperluan semasa operasi di sekolah khususnya bagi memastikan tiada kelas terjejas akibat kekurangan guru opsyen.
Bagi meminimumkan perkara ini, KPM katanya sudah melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan mengikut keperluan opsyen atau kluster mata di setiap negeri dengan diselaraskan oleh sebuah jawatankuasa peringkat KPM.
“Jawatankuasa ini berperanan menyemak data keperluan guru mengikut opsyen dengan matlamat menjamin keseimbangan penempatan guru mengikut opsyen dan lokaliti.
“Pada masa sama, KPM mengambil langkah proaktif membantu guru bukan opsyen melaksanakan tugasan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka dengan penyediaan manual kit sokongan. Manual kit sokongan ini dapat membantu guru berkenaan menyampaikan ilmu secara efektif.
“Bagi mata pelajaran Sejarah, KPM menyediakan dua manual iaitu Manual Kecemerlangan Sejarah (MkaH) dan Manual Maksimum Sejarah (MAXSe). KPM turut menyediakan Kit Didik Hibur bagi memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai panduan mengendalikan aktiviti pembelajaran yang lebih santai, kreatif dan menyeronokkan,” katanya.
Bagi memastikan kualiti PdP dan standard pendidikan kebangsaan terus terpelihara katanya, KPM turut memberi penekanan kepada perkongsian kepakaran dan peningkatan kualiti latihan guru.
“Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bekerjasama dengan fakulti pendidikan universiti awam (UA) melalui perkongsian pengalaman, pelaksanaan Program Sekolah Pengajar serta perbincangan berterusan.
“Langkah ini dapat membantu kompetensi guru terus diperkukuh dan ilmu serta kemahiran baharu dapat disampaikan kepada mereka. Melalui langkah sudah diambil, KPM berpandangan kualiti PdP, keberkesanan pembelajaran dan pencapaian standard pendidikan kebangsaan dapat dipastikan walaupun mata pelajaran itu diajar oleh guru bukan opsyen,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




