Sintok: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berusaha memastikan capaian Internet di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berada pada tahap tertinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, KPT sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan, seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu isu kelemahan capaian Internet di Ipta diselesaikan segera.
“Perdana Menteri ingin memastikan semua Ipta dan politeknik dilengkapi dengan capaian internet yang tinggi. Ini bermakna bukan sekadar ada, tetapi ia perlu konsisten… kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak.
“Paling penting, capaian Internet yang optimum membolehkan proses penyelidikan dan pembelajaran di universiti berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program In Person With Doc Zam di Dewan Mu’adzam Shah, di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




