KPT bakal teliti keperluan tambah Kolej Komuniti di pedalaman Sabah, Sarawak – Zambry

KPT bakal teliti keperluan tambah Kolej Komuniti di pedalaman Sabah, Sarawak – Zambry

am@hmetro.com.my

Papar: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti keperluan menambah Kolej Komuniti khususnya di daerah pedalaman negeri Sabah dan Sarawak termasuk mempertimbangkan penambahan fasiliti tambahan seperti asrama.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya melihat ada keperluan untuk mempertimbangkan perkara terbabit selepas melawat Kolej Komuniti Beaufort Februari lalu.

“Kita akan melihat dari segi keperluan yang berkaitan dengannya. Seperti saya sebutkan sebelum ini juga, semasa saya mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Beaufort untuk melihat keperluan itu, kita menyedari bahawa ada keperluan di Sabah dengan menyediakan fasiliti yang lengkap.

“Ini termasuklah dari segi (penambahan fasiliti) asrama, walaupun dari segi dasar Kolej Komuniti tidak ada sediakan asrama.

“Namun dalam konteks di Sabah dan Sarawak, kita memikirkan supaya disediakan (fasiliti) ini, diperkemaskan terlebih dahulu bagi Kolej Komuniti yang sedia ada.

“Untuk perancangan di masa akan datang, kita akan melihat dari segi keperluan di kawasan tempatan itu kerana (berdasarkan) dasar kerajaan, kita mahu pastikan supaya Kolej Komuniti itu dijadikan tempat untuk menyediakan tenaga (kerja) manusia di kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Perasmian Kolej Komuniti Papar @ Sabah Digital Academy di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Mohd Zahari Ismail.

Mengenai Kolej Komuniti Papar, Zambry berkata ia adalah antara kolej yang menawarkan kursus dalam bidang teknologi maklumat yang turut dianjakkan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Menurut laporan World Economic Forum (WEF), menjelang tahun 2025, AI dan automasi dijangka menggantikan kira-kira 85 juta pekerjaan di seluruh dunia.

“Walaupun angka ini kelihatan membimbangkan, teknologi ini juga berpotensi mewujudkan pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran lebih kompleks seperti analisis data, pembangunan algoritma dan keselamatan siber.

“Ini bermakna, kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti Papar penting bagi menghasilkan tenaga kerja yang dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang semakin berubah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top