KPWKM teliti semula SOP di pusat asuhan

bhnews@bh.com.my

PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) di pusat asuhan atau taman didikan kanak-kanak (TADIKA) bagi mengelak berlaku kes penderaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata tindakan terbabit diambil bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga susulan video kejadian penderaan yang tular dipercayai berlaku di sebuah tadika di Selangor, semalam.

Katanya, KPWKM memandang serius isu berkenaan dan berharap tindakan tegas diambil agensi berkaitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah membuka kertas siasatan kes itu.

“Ibu bapa yang terkesan atau trauma dengan insiden ini juga akan dibantu memandangkan kita mempunyai khidmat pegawai pelindung dan pakar kaunseling melalui Lembaga Kaunselor Malaysia.

“Selain itu, saya sendiri setuju supaya ibu bapa menyelidik terlebih dahulu kerana terdapat banyak laporan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) atau TADIKA tidak berdaftar selain pengasuh yang tiada latihan untuk menjaga kanak-kanak, kerana ia berkaitan keselamatan serta nyawa anak mereka.

“Kita juga meminta masyarakat segera melaporkan kepada pihak polis atau terus kepada KPWKM melalui talian Kasih 15999 jika mengetahui masalah sebegini supaya pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok (KOMTIK) , di sini, hari ini

Semalam, tular video seorang kanak-kanak dipercayai dilayan dengan kasar oleh seorang guru di sebuah TADIKA di Jalan Kebun, Shah Alam.

Berdasarkan video tular berdurasi 10 saat, seorang wanita dipercayai memarahi dan bertindak kasar terhadap kanak-kanak itu sambil diperhatikan oleh kanak-kanak lain di dalam kelas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, Kelantan hanya merekodkan seramai 177,125 orang berdaftar mendapatkan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera.

“Program hari ini bertujuan menyahut inspirasi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya lebih ramai rakyat mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ia juga sebagai usaha KPWKM membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19, selain mengagihkan bakul makanan kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat wabak ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd