Kreatif dan bijak dekorasi bikin rumah kecil tampak menarik

Kreatif dan bijak dekorasi bikin rumah kecil tampak menarik

asmaini@mediaprima.com.my

Dekorasi minimalis dengan gabungan gaya minimal dan semula jadi bukan sahaja memudahkan penjagaan rumah, malah menjadikan kediaman kelihatan lapang serta tidak berserabut.

Tema dekorasi itu juga dapat memberi rasa tenang, kemas dan selesa untuk didiami setiap hari, khususnya bagi mereka yang menetap di kediaman jenis pangsapuri.

Konsep dekorasi itu menjadi pilihan Nur Farah Ahmad Tarmizi Tan, 33, buat ‘syurga’ keluarga kecilnya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

Menurut Nur Farah, gaya dekorasi berkenaan juga membantu menyerlahkan ruang pangsapuri seluas 880 kaki persegi itu supaya tampak lebih luas dan terang.

“Apabila suasana dalam kediaman tenang dan lapang, lebih mudah untuk dipadankan dengan perabot atau aksesori baharu tanpa merosakkan konsep dekorasi.

“Tumpuan utama konsep ini adalah pada ruang tamu dan dapur.

“Ia bukan sahaja sebagai pusat aktiviti utama kami sekeluarga, tetapi juga kerana kebanyakan masa dihabiskan di ruang ini untuk menghasilkan kandungan dan menyiapkan kerja,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan penggunaan warna dan material bahan perabot yang menjadi pilihan, Nur Farah berkata, dia dan suami lebih cenderung kepada rona semula jadi dan bahan berasaskan kayu solid.

Kata Nur Farah, warna semulajadi seperti putih, beige dan coklat muda bukan sahaja menjadikan ruang nampak lebih tenang, malah tampak bersih dan mudah disesuaikan dengan pelbagai fungsi.

“Kami memilih perabot jenis itu kerana ia lebih tahan lama, mudah dijaga dan tidak cepat ketinggalan daripada segi trend.

“Lebih utama, material dan warna itu juga lebih mesra haiwan peliharaan selain tidak terlalu menonjolkan kesan calar atau kotoran ringan,” katanya.

Dalam pada itu, seperti wanita lain, kawasan dapur turut menjadi ruang kegemaran Nur Farah.

Ini kerana, kebanyakan masanya dihabiskan di dapur untuk menghasilkan kandungan dan melakukan kerja harian, jadi ruang itu perlu sentiasa kemas, cerah dan praktikal.

“Selain itu, bilik bermain anak juga dekat di hati kerana di sinilah saya meluangkan masa berkualiti bersama anak, termasuk aktiviti bermain dan ‘homeschooling’,” katanya.

Menurut Nur Farah, dia banyak mendapatkan idea dekorasi daripada rakan komuniti deko di laman sosial.

Kata ibu kepada seorang anak perempuan itu lagi, dia suka melihat perkongsian rumah sebenar kerana ia lebih realistik.

“Ia juga lebih praktikal dan mudah disesuaikan dengan kehidupan seharian,” katanya.

Nur Farah berkata, dia juga memiliki rutin penjagaan tertentu untuk memastikan kediaman tempat keluarganya berteduh itu kekal kemas dan bersih.

Katanya, untuk rutin penjagaan harian, dia banyak bergantung kepada ‘robot vacuum’ bagi memastikan lantai sentiasa bersih tanpa perlu terlalu kerap mengemas secara manual.

“Manakala, pada hujung minggu, saya akan lakukan ‘deep cleaning’ supaya rumah kekal segar dan terurus.

“Gabungan ini sangat membantu daripada segi penjimatan masa, terutamanya dengan jadual harian kami suami isteri yang padat,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Nur Farah berkata, buat masa ini, daripada segi bajet, menghias sendiri lebih memuaskan hatinya kerana boleh bergerak secara berperingkat dan mengikut keperluan.

“Namun, jika ada rezeki lebih pada masa hadapan, saya tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pereka dalaman untuk menjimatkan masa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top