Kreativiti guru cemerlang tarik minat pelajar

Kreativiti guru cemerlang tarik minat pelajar

am@hmetro.com.my

Kuching: Kaedah pembelajaran kontekstual dengan memperkenalkan sesuatu yang baharu terbukti berkesan memupuk minat murid untuk fokus kepada pelajaran.

Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, Muhammad Nazmi Rosli, 32, berkata kaedah itu dipraktikkannya dalam pengajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas.

Menurutnya, ramai murid sekolah pedalaman itu tidak pernah melihat suasana di tempat lain seperti pantai dan beliau mewujudkannya di dalam kelas untuk memberi peluang mereka merasainya.

“Kaedah kontekstual mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.

“Misalnya di kawasan luar bandar, ada murid luar bandar tidak pernah pergi ke kolam renang, kita buat kolam renang mini dalam kelas dan ada yang tidak pernah pantai, kita ubah kelas menjadi pantai,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di sini, hari ini.

Muhammad Nazmi yang memenangi Malaysia Teacher Prize di Kuala Lumpur tahun 2023 dan turut dinobatkan antara 10 guru terbaik pada Global Teachers Prize 2025 di Dubai berkata, pembelajaran kontekstual yang diamalkannya tidak mengabaikan silibus dan pada yang sama ia menyemai nilai insaniah dalam diri murid.

“Inilah antara cara kita untuk menangani cabaran mengajar khususnya di sekolah luar bandar.

“Kita perlu kreatif untuk menarik minat pelajar seterusnya membantu mengubah pemikiran mereka untuk mencapai kejayaan,” katanya yang sudah lapan tahun bergelar pendidik.

Penerima Anugerah Ikon Guru STEM, Amirudin Razali, 32, pula berkata persepsi STEM adalah subjek elit membuatkan ramai pelajar tidak berminat untuk mempelajarinya.

Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Ampang, Kuala Lumpur itu, tanggapan seperti itu menjadi cabaran untuknya mencari kaedah sesuai untuk menjadikan pelajar seronok belajar STEM.

“Cara saya menarik minat pelajar, pada mulanya banyak membawa mereka ke dunia luar dengan strategi pengajaran ‘hands on’ dan dari situ mereka mengenal subjek STEM dan mula menyukainya.

“Selepas itu kita buka banyak ruang kepada mereka untuk menyertai pertandingan anjuran agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menerusi penyertaan pada pertandingan inovasi STEM itu katanya mendedahkan pelajar cara penyelesaian sesuatu tugasan seterusnya membinapemikiran kreatif.

Usaha Amirudin terbukti berkesan apabila beliau membawa pasukan SMK Puteri Ampang meraih kejayaan pada World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 di Medan, Indonesia, Februari lalu.

Malah guru berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang juga Guru Cemerlang Matematik itu

meraih anugerah pada WYSII 2025 yang disertai guru dari 32 negara seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top