am@hmetro.com.my
Pontian: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengesahkan seorang daripada tiga kakitangan kontraktor yang cedera dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Kukup di sini, kelmarin sudah dibenar keluar hospital.
“Dua lagi masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan perubatan. Kami akan terus memantau keadaan mereka dengan rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada Sabtu itu dua pekerja Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Mengulas lanjut, Malakoff memaklumkan pihaknya giat melaksana siasatan dalaman insiden terbabit dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak berkuasa pengawal seliaan berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin berjalan seperti biasa. Keselamatan dan integriti operasi kami kekal sebagai keutamaan tertinggi dan kami komited terhadap ketelusan sepanjang proses ini,” katanya.
Syarikat itu menzahirkan dukacita atas kehilangan dua kakitangan kontraktor dalam insiden terbabit.
“Ucapan takziah yang mendalam serta sokongan berterusan dihulurkan kepada keluarga mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




