Krisis adab: Penyakit mendasar umat Islam

KEBANYAKAN orang merumuskan adab itu ialah berbudi bahasa dan bersopan santun. Walhal perkataan yang dipinjam dari kalimah Arab tersebut mempunyai sudut makna yang luas. Ketidakfahaman ini menyebabkan kita tersilap dalam mendefinisi erti. Lalu dengan mudah mensekularkan adaptasi adab dengan ilmu. Malang, ia hanya dijelaskan dalam konotasi makna yang sempit.

Sudut pandang al-Attas

Adab ialah memaknai konsep pengenalan dan pengakuan. Pengenalan merupakan aspek ilmu terhadap hakikat realiti sesuatu perkara. Pengakuan pula merangkumi konsep amal yang bertindak selari mengikut arus kebenaran.

Advertisement

Ilmu tanpa amal adalah suatu kesombongan. Ini boleh digambarkan seperti sang Iblis atas usaha meliberalkan dirinya dari Tuhan. Amal tanpa ilmu ialah kebodohan yakni orang yang mudah tertipu. Keserasian antara dua konsep ini terkait dengan soal hikmah.

Kepincangan adab

Menurut Syed Naquib al-Attas, krisis terbesar umat Islam saat ini ialah kepincangan adab. Kemerosotan adab yang kian ranap disebabkan oleh berlakunya Sekularisasi ilmu. Akibatnya, ilmu pengetahuan yang dipelajari langsung tidak membantu dalam mengenal pencipta. Bahkan, tuntutan ilmu sekadar bersifat pencapaian prestij dan komersial.

Maka tidak pelik, umat Islam mudah diracuni pemikirannya. Kewujudan pimpinan zalim dilihat semakin berleluasa. Pertimbangan hak dan adil seolah-olah tidak dicakna. Padah binasa akibat hilang hikmah.

Taadib

Proses melahirkan umat beradab perlu digerakkan melalui garis pendidikan. Tujuan pendidikan ialah melahirkan orang-orang yang baik. Dalam menjadi orang yang baik memerlukan kepada ilmu dan amal. Justeru, orang yang beradab adalah orang yang berilmu. Orang berilmu pastinya ialah mereka yang ada adab.

Jika adab hanya difahami sebagai lambang ‘sopan santun’, barangkali ada tuduhan bahawa Nabi Ibrahim A.S sebagai orang yang tidak beradab kerana ingkar kepada ayahnya. Oleh itu, pertimbangan dan martabat sesuatu hendaklah berdasarkan neraca Tuhan. Bukan pada manusia ataupun budaya.

Peradaban Islam

Solusi mengembalikan peradaban agung dalam sejarah bermula dari penanaman adab dalam diri. Sistem pendidikan mesti menekankan konsep integrasi antara ilmu bagi mengekalkan keterikatan antara dunia dan akhirat.

Pembudayaan ilmu juga penting untuk dijadikan sebagai teras utama. Mana mungkin Islam akan menjadi bangsa besar jika mengabaikan tradisi ilmu sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran. Maka sebab itu, Rasulullah S.A.W mengajar doa: 

“Ya Allah, tambahkanlah ilmuku. Supaya ilmu yang dikejar dan dimiliki seorang Muslim itu adalah ilmu yang benar-benar bermanfaat. Hanya dengan ilmu yang benar manusia pasti dapat meraih adab dan hikmah tersendiri.”

Penutup

Dalam Hadis Riwayat Imam Ahmad:

(لأن يؤدب الرجل ولده خير من أن يتصدق بصاع)

“Jika seseorang mendidik anaknya (menjadikan anaknya beradab), maka itu lebih baik baginya daripada bersedekah setiap harinya setengah sha’.” 

Jelas, keberhasilan khasiat dalam pendidikan itu mempunyai impak yang cukup besar. Sudah tentu ia memerlukan satu usaha padu daripada semua peringkat.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 16/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.