Krisis air Terengganu berlarutan hingga Rabu depan – Utusan Digital

Krisis air Terengganu berlarutan hingga Rabu depan – Utusan Digital

KUALA TERENGGANU: Krisis gangguan bekalan air membabitkan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di daerah ini dan Kuala Nerus dijangka berlarutan hingga Rabu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kerja-kerja baik pulih paip berukuran 1,200 milimeter yang pecah di dasar
Sungai Terengganu itu giat dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘clamp’.

“Kaedah ini merupakan penyelesaian paling segera dan menjimatkan masa dengan jangkaan selesai selama tujuh hari.

“Bagi memastikan pengguna terjejas mendapat bekalan air sehingga proses pembaikan selesai, Satu telah memulakan operasi pengagihan air bersih ke kawasan-kawasan terlibat termasuk penghantaran 20 lori tangki bergerak di samping menyediakan 66 tangki statik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Satu, Burhanudin Hilmi [email protected] dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.

Mamad berkata, pihaknya masih lagi menyiasat dakwaan kerosakan paip berusia 15 tahun itu berpunca akibat aktiviti mengorek pasir seperti yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan orang ramai akan terus dibantu termasuk mereka yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Manir.

Katanya, antara yang turut terkesan dengan krisis air berkenaan ialah dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), dua pusat pemberian vaksin (PPV) dan tiga pusat hemodialisis.

Scroll to Top