Krisis Asia Barat: 1,000 warga F1 ubah perjalanan, mungkin terlepas aksi pembukaan

Krisis Asia Barat: 1,000 warga F1 ubah perjalanan, mungkin terlepas aksi pembukaan

KIRA-KIRA 1,000 anggota Formula Satu (F1) terpaksa membuat perubahan perjalanan pada saat akhir susulan krisis yang semakin memuncak di Asia Barat menjelang pusingan pembukaan musim di Melbourne minggu ini.

Sebahagian daripada mereka dijangka tidak sempat tiba untuk permulaan musim berikutan gangguan penerbangan yang meluas.

Bagaimanapun, masalah logistik yang lebih besar berjaya dielakkan apabila kereta perlumbaan dan peralatan sokongan telah dihantar lebih awal dari sesi ujian pramusim di Bahrain bulan lalu sebelum gangguan ruang udara berlaku.

Memetik laporan Channel Nine, Ketua Pegawai Eksekutif Australian Grand Prix Corporation, Travis Auld, berkata semua kenderaan perlumbaan kini berada di Albert Park dalam kontena dan sedia untuk dipindahkan ke garaj menjelang hujung minggu perlumbaan yang bermula dengan sesi latihan pada Jumaat.

Menurutnya, ramai kakitangan termasuk pasukan, pemandu dan pegawai F1 terpaksa menukar penerbangan bagi mengelakkan hab lapangan terbang antarabangsa di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang terjejas akibat serangan peluru berpandu.

“Dianggarkan hampir 1,000 individu telah menempah penerbangan dan dijadual tiba antara Isnin hingga Rabu, namun semuanya perlu diubah.

“Dalam masa yang sama, ramai penumpang lain di seluruh dunia turut membuat perubahan sehingga menyebabkan permintaan penerbangan meningkat. Bagaimanapun, mereka berjaya menguruskannya,” katanya.

Sebagai sukan bertaraf global, pusingan keempat di Bahrain dan pusingan kelima di Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada April ini masih kekal dalam kalendar, namun pihak penganjur memaklumkan situasi sedang dipantau dari masa ke masa.

Sementara itu, pengeluar tayar, Pirelli, membatalkan ujian cuaca basah di Bahrain susulan konflik berkenaan, dengan beberapa kakitangan dilaporkan masih terkandas di Manama.

Beberapa anggota pasukan turut dilaporkan masih berada di Bahrain termasuk pemandu simpanan baharu Mercedes, Frederik Vesti.

Presiden badan induk F1 turut menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan akan menjadi keutamaan dalam menentukan penganjuran perlumbaan akan datang.

Beliau menyatakan pihaknya sedang berhubung rapat dengan penganjur dan pasukan bagi memantau perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

Ringkasan AI

  • Kira-kira 1,000 anggota Formula Satu terpaksa membuat perubahan perjalanan pada saat akhir menjelang pusingan pembukaan musim di Melbourne
  • Sebahagian daripada mereka berkemungkinan tidak sempat tiba untuk permulaan musim berikutan gangguan penerbangan yang meluas
  • Kereta perlumbaan dan peralatan sokongan telah dihantar lebih awal dari sesi ujian pramusim di Bahrain bulan lalu sebelum gangguan ruang udara
  • Ramai kakitangan termasuk pasukan, pemandu dan pegawai F1 menukar penerbangan bagi mengelakkan hab lapangan terbang yang terjejas akibat serangan peluru berpandu
  • Keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan dalam menentukan penganjuran perlumbaan akan datang sedang dipertimbangkan oleh pihak penganjur dan badan induk F1
Scroll to Top