Krisis Asia Barat jejas bekalan pembungkusan plastik produk harian

Krisis Asia Barat jejas bekalan pembungkusan plastik produk harian

KONFLIK berterusan di Asia Barat mula memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik apabila gangguan rantaian bekalan global mencetuskan kekurangan bahan pembungkusan di Malaysia.

Memetik laporan The Straits Times, kekangan tersebut berpunca daripada gangguan aliran bahan petrokimia yang menjadi asas kepada pengeluaran resin plastik, khususnya polyethylene terephthalate (PET) yang digunakan untuk menghasilkan botol minuman dan bekas makanan.

Situasi tersebut sudah mula dirasai di peringkat pengguna apabila sebahagian produk, termasuk susu jenama Farm Fresh dilaporkan sukar diperoleh di pasaran pada awal April.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan menjelaskan, kekurangan tersebut bukan disebabkan isu bekalan susu, sebaliknya berpunca daripada kekurangan botol plastik untuk pembungkusan.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal dilapor berkata, konflik tersebut telah memberi kesan kepada operasi syarikat, khususnya dari segi pembungkusan produk.

Menurutnya, apabila krisis berkenaan berlaku, harga akan meningkat dan bekalan menjadi sukar diperoleh, walaupun syarikat masih menerima sokongan daripada beberapa pembekal.

“Memang terdapat kesan nyata daripada perang Iran ini.

“Yang paling ketara sudah tentu adalah petroleum, khususnya diesel untuk kegunaan industri, contohnya bagi dandang. (Diesel) kini perlu dibeli pada harga pasaran semasa,” katanya.

Sebagai langkah mengurangkan tekanan, syarikat tersebut dilaporkan mula beralih kepada pembungkusan yang kurang bergantung kepada bahan plastik.

“Kami kini beralih kepada pembungkusan kotak kertas dan format UHT,” katanya.

Bagaimanapun Azmi menegaskan, setakat ini tiada lebihan susu yang tidak dapat dibungkus.

Farm Fresh juga dilapor berdepan peningkatan kos dalam pembungkusan, logistik dan elektrik yang secara keseluruhan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada kos operasi, namun syarikat berusaha mengekalkan harga jualan.

Selain kekurangan resin PET, kenaikan harga bahan api turut meningkatkan tekanan kos operasi, termasuk penggunaan diesel dalam proses pengeluaran.

Harga diesel dilaporkan melonjak lebih dua kali ganda dalam tempoh singkat susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Pada masa sama, kekangan bekalan plastik tidak terhad kepada produk tenusu sahaja.

Sehubungan itu, pemain industri memberi amaran kekurangan bahan mentah plastik boleh memberi kesan lebih meluas kepada sektor barangan pengguna memandangkan pembungkusan plastik merupakan komponen kritikal dalam memastikan produk dapat diedarkan ke pasaran.

Menerusi laporan sama, Pengerusi Persatuan Pengilang Plastik Malaysia cawangan Johor, Mike Tan berkata, walaupun Malaysia masih mempunyai kapasiti pengeluaran mencukupi, akses kepada bahan mentah semakin tidak menentu.

“Sesetengah pengeluar mula menjual pada harga lebih tinggi dan dengan tempoh penghantaran yang lebih lama.

“Tanpa pembungkusan yang mencukupi, pengeluar tidak dapat menjamin kesegaran sesuatu produk atau mengedarkannya walaupun produk itu sendiri (seperti susu atau bahan pencuci) tersedia. Pembungkusan menjadi ‘bottleneck’ dalam rantaian bekalan,” katanya.

Pengeluaran plastik bergantung kepada bahan petrokimia seperti polyethylene (PE) dan PET yang berasal daripada minyak mentah dan gas asli.

Oleh itu, gangguan bekalan minyak akan meningkatkan kos tenaga dan bahan mentah secara global.

Kesan krisis berkenaan tidak terhad kepada Malaysia, sebaliknya turut dirasai di beberapa negara Asia lain apabila harga produk plastik meningkat dan pengguna mula berdepan kekurangan bekalan.

Sekiranya gangguan bekalan berterusan, ia berpotensi menjejaskan lebih banyak barangan harian, daripada makanan dan minuman kepada produk penjagaan diri, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada kos sara hidup pengguna.

Scroll to Top