Kuala Lumpur: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin meruncing apabila akaun Facebook rasmi parti itu menukar gambar latar dengan paparan yang mendesak Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada kepimpinan.
Setakat ini tiada penjelasan lanjut dikeluarkan berhubung perubahan pada paparan tersebut.
Menerusi akaun berkenaan, gambar Muhyiddin dimuat naik bersama perkataan “Undur Muhyiddin” yang ditukar malam ini, selain status berbunyi “Masanya sudah tiba” yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Difahamkan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dijadual berlangsung di kediaman presiden parti itu pada 10 pagi esok.
Krisis dalaman parti itu semakin memuncak apabila 17 ahli Bersatu dipecat oleh Lembaga Disiplin setakat hari ini, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




