Pemain industri pembinaan diminat tidak menggunakan konflik di Asia Barat sebagai alasan untuk menaikkan harga perumahan, khususnya kediaman mampu milik, lapor BH Online.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini sejajar dengan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengekalkan kestabilan harga rumah mampu milik, walaupun kos bahan binaan meningkat di peringkat global akibat konflik tersebut.
“Krisis global yang memberi kesan kepada seluruh dunia termasuk Malaysia itu tidak patut dijadikan kesempatan untuk menaikkan harga binaan,” katanya.
Foto: Bernama
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh pada Ahad yang mencatat kehadiran seramai 303,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
Kor ming turut menegaskan bahawa kerajaan kini membelanjakan RM4 bilion sebulan untuk subsidi bahan api, termasuk bagi kenderaan yang mengangkut bahan binaan.
“KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara akan mencari ikhtiar supaya jumlah kos bahan binaan itu berada dalam keadaan terkawal. Sebab itu, kita memberi subsidi RM4 bilion, terutama untuk pengangkutan awam dan lori mengangkut bahan binaan.
“Mereka masih lagi menerima subsidi setiap hari yang mana harga bahan api masih lagi jauh lebih rendah. Justeru berlandaskan semangat kita teguh bersama, saya memohon semua pemain industri supaya sama-sama jangan mengambil kesempatan,” ujarnya.
Foto arkib: Bernama
Tambahnya, KPKT sentiasa memantau projek perumahan supaya tidak terjejas atau menghadapi kelewatan akibat krisis global.
Selain itu, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diperkasa bagi membantu mereka yang tiada slip gaji tetap, termasuk pekerja ekonomi gig, memiliki rumah pertama.
Malah, tambahan RM10 bilion diumumkan dalam Belanjawan 2026, menjadikan keseluruhan RM40 bilion diperuntukkan bagi jaminan kredit tersebut.
“Melalui inisiatif ini, KPKT menyasarkan untuk membantu 100,000 individu membeli rumah menjelang akhir tahun ini,” tambahnya lagi.
Sumber: BH Online (Muhammad Zulsyamini Sufian Suri)



