Petaling Jaya: Dalam dunia digital yang serba terbuka ini, batas antara benar dan salah, hak dan tanggungjawab seolah-olah semakin kabur. Fenomena ini dapat dilihat apabila segelintir remaja Muslim dengan bangga mempamerkan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam di media sosial, malah ada yang tanpa segan silu mengaku murtad atau menanggalkan tudung atas alasan ingin “menjadi diri sendiri”. Fenomena ini bukan lagi kes terpencil tetapi mencerminkan satu gelombang pemikiran baharu yang sedang meresap dalam kalangan masyarakat Muslim krisis identiti dalam era pascamoden.
Konsep self-freedom atau kebebasan diri sering dijulang sebagai simbol kemajuan dan keaslian dalam budaya pascamoden. Falsafah ini menekankan bahawa manusia berhak menentukan nilai hidupnya tanpa terikat pada norma agama atau tradisi. Namun, dalam konteks Islam, kebebasan bukanlah penolakan terhadap Tuhan tetapi penegasan terhadap martabat manusia sebagai hamba yang berakal. Islam tidak menolak kebebasan tetapi mengarahkannya agar berpaksikan kepada prinsip ‘ubudiyyah iaitu kebebasan yang terikat dengan tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Di sinilah terletaknya kekeliruan besar dalam kalangan generasi muda hari ini. Apabila konsep kebebasan yang lahir daripada pemikiran Barat pascamoden diserap bulat-bulat tanpa penapisan nilai, maka lahirlah tafsiran kebebasan yang meminggirkan fitrah dan syariat. Apa yang dianggap “menjadi diri sendiri” sebenarnya sering kali adalah bentuk penyerahan diri kepada tekanan budaya dan media yang memuja individualisme.
Fahaman pascamoden menolak idea kebenaran mutlak. Segala-galanya dianggap relatif kerana tiada yang benar atau salah secara objektif, semuanya bergantung kepada perspektif individu. Pemikiran ini menjalar melalui media sosial yang memberi ruang luas kepada ekspresi peribadi tanpa sempadan. Algoritma platform seperti TikTok dan Instagram pula memperkukuh budaya ini dengan meraikan kandungan yang bersifat sensasi, berani dan “berbeza”.
Akibatnya, ramai anak muda terperangkap dalam dilema identiti. Mereka ingin diterima oleh dunia global yang menyanjung kebebasan tetapi dalam masa sama berhadapan dengan nilai agama yang menuntut pengabdian dan disiplin moral. Di sinilah terjadinya konflik batin antara keinginan untuk “bebas” dan tanggungjawab sebagai Muslim.
Krisis ini tidak muncul dalam sekelip mata. Ia hasil daripada proses panjang sekularisasi pemikiran dan kehilangan asas pendidikan kerohanian yang kukuh. Ketika nilai agama hanya dilihat sebagai “ritual” dan bukan sebagai “cara berfikir”, maka mudah bagi fahaman kebebasan diri yang radikal menembusi hati generasi muda.
Media sosial bukan sekadar medium komunikasi tetapi kini menjadi pentas pembentukan identiti. Di sinilah nilai dan keyakinan diri diuji. Seorang remaja yang memperoleh perhatian melalui kandungan yang kontroversi akan menganggap itu sebagai bentuk penerimaan diri, lalu memperkukuh identiti baharu yang tidak semestinya selari dengan fitrah Islam. Fenomena ini menunjukkan bahawa krisis identiti bukan sekadar persoalan akidah tetapi juga persoalan psikologi dan sosial.
Kajian dalam pemikiran Islam menegaskan bahawa identiti Muslim tidak boleh dibina di atas dasar keinginan semata-mata tetapi mesti berpaksikan kepada ilmu dan iman. Al-Quran menggambarkan manusia sebagai khalifah iaitu makhluk yang diberi kebebasan untuk memilih tetapi dalam kerangka tanggungjawab moral terhadap Pencipta. Kebebasan tanpa panduan akan membawa kepada kekeliruan, manakala panduan tanpa kebebasan akan melahirkan kekakuan. Islam menawarkan keseimbangan antara kedua-duanya.
Isu krisis identiti Muslim bukan sekadar fenomena sosial tetapi isyarat bahawa sistem nilai kita sedang diuji. Cabaran ini menuntut pendekatan pendidikan dan dakwah yang lebih segar berpaksikan kefahaman maqasid syariah serta pendekatan psikososial yang dekat dengan realiti generasi digital. Kita tidak boleh lagi hanya menegur dari jauh, sebaliknya perlu membimbing dengan hikmah, empati dan kefahaman terhadap konteks zaman.
Pendidikan agama harus diperbaharui agar tidak hanya menekankan hukum tetapi juga menjelaskan falsafah di sebalik setiap perintah. Mengapa Islam menutup aurat? mengapa iman itu asas ketenangan? dan bagaimana kebebasan sejati hanya tercapai apabila manusia mengenal Tuhan?. Hanya dengan cara itu generasi muda dapat melihat bahawa Islam bukan sekadar larangan tetapi panduan menuju makna diri yang hakiki.
Krisis identiti Muslim dalam era pascamoden bukan tanda kehancuran tetapi peluang untuk muhasabah dan membina semula makna kebebasan dalam kerangka Islam. Dunia mungkin mengangkat slogan “Be yourself”, namun Islam mengingatkan, “Be your true self as Allah created you.” Apabila kebebasan disandarkan kepada iman, maka manusia tidak lagi menjadi hamba kepada kehendak diri tetapi menjadi insan yang merdeka dalam erti sebenar.
Oleh: Nurul Khaidah Binti Kamianzah (S2119940),
Pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Usuluddin,
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



