Krisis kelaparan di Gaza semakin kritikal – Laporan PBB

Krisis kelaparan di Gaza semakin kritikal – Laporan PBB
Krisis kelaparan di Gaza semakin kritikal – Laporan PBB

Kanak-kanak Palestin beratur untuk mendapatkan air di pusat perlindungan sementara di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

NEW YORK – Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan bahawa krisis kelaparan di Gaza semakin kritikal akibat kekurangan bekalan yang akut, sekatan akses yang ketat, dan insiden rompakan bersenjata.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), OCHA dalam laporan hariannya memaklumkan bahawa rakan kemanusiaan di tengah Gaza telah kehabisan semua stok bekalan mereka pada Ahad lepas.

Sementara itu, pihak berkuasa Israel terus menyekat kebanyakan permohonan untuk membenarkan bantuan makanan dihantar melalui pusat pemeriksaan Erez di barat, untuk sampai ke kawasan selatan Lembah Gaza.

Laporan berkenaan turut menyatakan kira-kira 120,000 tan metrik bantuan makanan – mencukupi untuk memberikan bekalan penuh kepada penduduk Gaza selama lebih tiga bulan – masih tersekat di luar wilayah itu.

Rakan kemanusiaan memberi amaran bahawa tanpa penghantaran bekalan tambahan, pengedaran bungkusan makanan kepada keluarga yang kelaparan akan terus terbatas.

Lebih 50 dapur komuniti yang menyediakan lebih 200,000 hidangan harian di tengah dan selatan Gaza juga berisiko ditutup dalam beberapa hari akan datang.

Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan bahawa setakat Isnin, hanya lima daripada 20 kedai roti yang disokongnya masih beroperasi, semuanya terletak di Bandaraya Gaza.

Kedai roti ini bergantung kepada penghantaran bahan api yang berterusan daripada rakan kerjasama di selatan Gaza untuk kekal beroperasi.

OCHA turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan generator telah melumpuhkan sistem kesihatan Gaza yang sudah terjejas teruk, sekali gus mengancam nyawa pesakit.

Serangan berterusan di utara Gaza telah menjejaskan perkhidmatan kesihatan bagi mangsa yang terselamat, dengan akses ke Hospital Al-Awda di Jabalia – satu-satunya hospital yang sebahagiannya masih berfungsi di utara Gaza – sangat terbatas.

Selain itu, PBB terus berusaha untuk masuk ke kawasan utara Gaza, termasuk misi yang cuba dilakukan semalam, tetapi pihak berkuasa Israel secara konsisten menolak usaha ini, yang semakin memburukkan krisis. – Bernama-WAFA

Scroll to Top