Krisis Kemanusiaan Uyghur: Penindasan Identiti Islam dan Impak terhadap Hak Asasi Manusia

Petaling Jaya: Di sebalik kemajuan dunia moden, terdapat kelompok masyarakat yang ditindas hanya kerana berpegang dengan agama dan identiti tersendiri. Nasib masyarakat Islam Uighur di Xinjiang menjadi cerminan nyata bahawa kebebasan dan kemanusiaan masih belum benar-benar dinikmati semua manusia di dunia ini. Bangsa Uyghur merupakan sebuah etnik minoriti di China. Mereka berasal daripada keturunan dari suku kino Huihe yang tersebar di Asia Tengah yang bertutur menggunakan bahasa Uighur dan memeluk agama Islam. Masyarakat Uyghur menghadapi pelbagai penindasan daripada pemerintahan China kerana pengamalan agama dan budaya mereka bercanggah dengan dasar negara.

Penindasan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan secara berterusan dialami oleh masyarakat Islam di sana. Antara bentuk penindasan yang berlaku ialah penahanan kaum lelaki dan wanita Islam di kem tahanan yang dinamakan sebagai pusat pendidikan semula, tanpa melalui sebarang proses perbicaraan yang sah di sisi undang-undang. Tindakan ini bukan sahaja mencabuli prinsip keadilan sejagat, malah memperlihatkan usaha sistematik untuk mengawal serta memadam identiti mereka sebagai sebuah komuniti berdaulat. Di pusat tersebut, mereka dipaksa menerima doktrin yang bertentangan dengan kepercayaan dan nilai kehidupan yang telah sebati dalam diri mereka sejak turun-temurun. Kezaliman ini secara jelas menggambarkan pelanggaran hak asasi manusia pada tahap yang membimbangkan, melibatkan penghapusan kebebasan individu dan usaha penafian hak mereka sebagai penganut agama yang sah. Mereka ditahan atas dakwaan kononnya menentang ideologi negara hanya kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam. Bahkan, mereka dipaksa meninggalkan kepercayaan agama serta identiti spiritual yang menjadi teras kehidupan mereka untuk digantikan dengan fahaman ateis dan nilai ideologi parti yang bertentangan sepenuhnya dengan prinsip akidah Islam. Keadaan ini secara tidak langsung menggambarkan usaha terancang untuk menghapuskan amalan beragama dalam kalangan mereka serta mencabuli hak kebebasan beragama yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia sejagat.

Penindasan yang berlaku memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Penindasan tersebut memberi kesan kepada agama dan identiti umat Islam di Uyghur. Hal ini terjadi apabila amalan agama seperti solat berjemaah, berpuasa dan pemakaian menutup aurat disekat menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada nilai Islam. Mereka juga hilang identiti Islam kerana berlakunya asimilasi budaya akibat desakan dan paksaan daripada kerajaan China untuk mengubah kepercayaan agama tersebut. Mereka terpaksa mengubah nama yang berkait dengan Islam, menggantikan bahasa Uyghur di sekolah daripada bahasa Uyghur kepada bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama serta melarang pemakaian pakaian tradisional. Akhirnya, masyarakat kehilangan akar spiritual dan budaya yang membentuk jati diri mereka. Di samping itu, penindasan tersebut memberi kesan terhadap keluarga dan komuniti. Dari sudut psikologi dan emosi, masyarakat Uyghur mengalami trauma dan ketakutan berpanjangan sehingga memberi kesan kepada psikologi seperti PTSD dan kemurungan. Sudah terang lagi bersuluh, penindasan terhadap masyarakat Uighur telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap aspek agama dan sosial serta menunjukkan bahawa krisis kemanusiaan ini memerlukan perhatian dan tindakan daripada masyarakat antarabangsa.

Isu penindasan terhadap masyarakat Islam di Uighur mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat antarabangsa dan masyarakat Islam seluruh dunia. Namun, kepentingan politik dan ekonomi dengan negara China telah mengakibatkan reaksi tersebut tidak mendapat perhatian dunia secara menyeluruh. Terdapat negara Islam yang menyuarakan keprihatinan terhadap penindasan tersebut melalui kenyataan rasmi di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan desakan penyiasatan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Badan Bukan Kerajaan seperti Humans Right Watch juga mengeluarkan laporan terperinci mengenai pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di Xinjiang. Masyarakat Islam di seluruh dunia perlu memainkan peranan yang jitu dengan menyebarkan dan menyokong kempen kesedaran untuk memastikan penindasan tersebut dapat dihentikan demi kesejahteraan saudara seislam kita di Uyghur. Institusi pendidikan mampu menjadi platform penting untuk memperkukuh kefahaman masyarakat tentang hak asasi dan penindasan agama. Tanggungjawab moral ini bukan sekadar tanda keprihatinan terhadap Uyghur, tetapi juga lambang keutuhan ukhwah islamiyah dalam menegakkan keadilan sejagat.

Tuntasnya, penindasan terhadap masyarakat Uighur bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama. Hal ini kerana penindasan yang berterusan berlaku di Uyghur telah mencabul hak mereka untuk hidup dalam persekitaran yang stabil serta mengekang kemampuan mereka dalam mempertahankan warisan kepercayaan yang menjadi teras budaya dan pegangan hidup mereka sejak sekian lama. Dunia perlu lebih tegas dalam menentang segala bentuk pelanggaran hak asasi manusia tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. Dengan segala tindakan yang diambil untuk membebaskan etnik Uyghur di China daripada penindasan, masyarakat dunia akhirnya dapat membuka mata terhadap hakikat sebenar penindasan yang dialami agar keadilan dapat ditegakkan serta keamanan dapat diberikan masyarakat Islam di Uyghur.

Oleh: Nurnuha binti Nazeri
Mahasiswa Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
nurnuhanazeri20@gmail.com

Scroll to Top