
Peserta protes merosakkan harta benda awam dan melakukan vandalisme. Foto AFP
LOS ANGELES – Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) melancarkan operasi penahanan besar-besaran ke atas kumpulan individu yang melanggar perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar itu.
Insiden rompakan dan vandalisme telah memburukkan lagi krisis di bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu selepas protes antiimigresen berlarutan selama lima hari berturut-turut.
Demonstrasi itu yang bermula di sekitar Los Angeles (LA) sejak Jumaat dilaporkan bertukar ganas dan semakin tidak terkawal pada Selasa.
Pihak berkuasa memberkas lebih 20 individu dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan ramai yang masih berdegil untuk mengadakan tunjuk perasaan ketika tempoh perintah berkurung.
Menurut polis, kira-kira 23 premis perniagaan dirompak dan lebih 500 tangkapan dibuat sejak beberapa hari lalu.
Keputusan Trump mengarahkan penempatan kira-kira 4,000 Pengawal Negara bersama 700 anggota Marin atas alasan untuk mengawal keselamatan telah mencetuskan bantahan banyak pihak termasuk Gabenor California, Gavin Newsom yang menentang sekeras-kerasnya campur tangan tersebut.
Gelombang protes itu dilaporkan telah merebak ke beberapa bandar lain di AS dan sejumlah penunjuk perasaan telah ditahan di New York.
Sementara itu, Gabenor Texas, Greg Abbott membuat keputusan mengejut apabila beliau mengerahkan Pengawal Negara untuk memastikan keamanan dan menjaga ketenteraman awam menjelang demonstrasi yang dirancang di beberapa lokasi di negeri tersebut. – Agensi