am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kira-kira 10 peratus rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke Thailand membatalkan tempahan hotel mereka pada saat akhir susulan kekurangan bahan api di negara itu.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asean, Aida Qujeh berkata pembatalan itu mula berlaku sejak dua hari lalu selepas laporan mengenai kekurangan bekalan bahan api di stesen minyak di seluruh Thailand.
“Bagaimanapun, jumlah itu tidak signifikan, hanya sekitar 10 peratus,” katanya ketika dihubungi.
Aida berkata kebanyakan yang membatalkan tempahan adalah rakyat Malaysia yang memandu sendiri ke Thailand, bukan mereka yang menggunakan pakej pelancongan.
“Mereka merancang untuk mengunjungi beberapa destinasi pelancongan termasuk Hat Yai, Songkhla, Krabi dan Satun, namun terpaksa membatalkan perjalanan kerana bimbang terkandas akibat kekurangan bahan api.
“Ada yang masih meneruskan perjalanan dengan memastikan tangki minyak diisi penuh, manakala yang lain memilih menangguhkan perjalanan,” katanya.
Aida berkata dijangka 60,000 hingga 80,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Thailand sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, berbanding antara 140,000 hingga 200,000 sebelum ini.
“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan kebimbangan untuk terkandas atau berdepan kesukaran perjalanan lain,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa Thailand turut memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus stesen minyak di lima wilayah akan ditutup bermula esok hingga Isnin berikutan bekalan petrol dan diesel yang terhad.
© New Straits Times Press (M) Bhd



