Krisis Myanmar memburuk, jutaan orang mungkin kebuluran kata PBB

Krisis Myanmar memburuk, jutaan orang mungkin kebuluran kata PBB
(Gambar Reuters)

NAYPYIDAW: Ketakjaminan makanan semakin meningkat di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera dan krisis kewangan yang memburuk, dengan jutaan orang dijangka kebuluran dalam bulan-bulan akan datang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis.

Sehingga 3.4 juta orang dijangka menghadapi kesukaran membeli makanan dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini, dengan kawasan bandar jauh teruk terkesan memandangkan lebih banyak kehilangan pekerjaan dalam bidang pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, selain kenaikan harga makanan, menurut analisis Program Makanan Sedunia (WFP).

“Semakin ramai orang miskin sudah kehilangan kerja dan tidak mampu membeli makanan,” kata pengarahnya di negara itu, Stephen Anderson dalam kenyataan.

“Tindak balas bersepadu kini diperlukan untuk meredakan penderitaan selain mengekang ketakjaminan makanan.”

Menurut WFP, harga pasaran beras dan minyak masak masing-masing meningkat 5% dan 18% sejak hujung Februari. Keluarga di pusat komersial negara itu, Yangon, juga dikesan mengurangkan pemakanan, mengambil makanan kurang berzat dan semakin banyak berhutang.

Agensi itu merancang memperluas operasi untuk membantu sehingga 3.3 juta orang, seterusnya merayu dana USD106 juta (RM436 juta), katanya.

Tentera Myanmar merampas kuasa daripada kerajaan yang dilantik secara demokrasi pada 1 Feb lalu seterusnya mencetuskan bantahan besar-besaran rakyatnya yang dibalas dengan kekerasan. Lebih 700 orang terbunuh setakat ini, menurut satu kumpulan pemantau.

Krisis itu mengakibatkan sistem perbankan terhenti, dan perniagaan tidak dapat membuat bayaran selain pelanggan juga tidak boleh membuat pengeluaran wang.

Import eksport juga terhenti dan kilang-kilang ditutup.

Scroll to Top