Krisis Sudan: Menilai Keberkesanan PBB dalam Menangani Konflik Kemanusiaan

Petaling Jaya: Sudan kini berdepan salah satu krisis kemanusiaan paling dahsyat di dunia. Ribuan nyawa terkorban manakala lebih 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan dan keganasan yang tidak berkesudahan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengesahkan bahawa dua bandar utama di selatan Sudan iaitu El Fasher dan Kadugli yang kini dilanda kebuluran besar-besaran berpunca daripada perang saudara yang berlarutan sejak April 2023. Konflik ini telah menghancurkan hampir seluruh struktur pentadbiran negara dan menjerumuskan Sudan ke dalam krisis politik yang mengancam kestabilan serta masa depannya.

Segalanya bermula selepas kejatuhan diktator Presiden Omar al-Bashir pada tahun 2019. Dua sekutu rapat, Jeneral Abdul Fattah al-Burhan (ketua Tentera Sudan, SAF) dan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, atau Hemeti (ketua Rapid Support Forces, RSF) telah bergabung untuk menumbangkan kerajaan lama. Namun, selepas kejayaan itu, hubungan mereka mula retak apabila timbul perbezaan pandangan tentang penggabungan pasukan RSF ke dalam tentera utama serta persoalan siapa yang layak mengetuai kerajaan baharu. Perselisihan itu akhirnya mencetuskan pertempuran besar pada April 2023 yang menandakan bermulanya perang saudara sehingga meragut ribuan nyawa dan memusnahkan masa depan Sudan.

Dalam konflik ini, Rapid Support Forces (RSF) menjadi tumpuan utama kerana kekuatan ketenteraan dan pengaruh ekonominya yang luas. RSF ditubuhkan pada tahun 2013 daripada kumpulan militan Janjaweed yang terkenal dengan kekejaman dalam konflik Darfur pada 2003. Oleh itu, RSF kini diketuai oleh Hemeti dan menguasai lombong-lombong emas utama di barat Sudan. Tambahan lagi, emas tersebut menjadi sumber kewangan utama kumpulan itu melalui aktiviti penyeludupan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Laporan risikan antarabangsa mendakwa UAE turut menyalurkan senjata dan dana kepada RSF melalui sempadan Chad, namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak UAE. Kini, RSF telah menguasai hampir keseluruhan wilayah Darfur serta bandar El Fasher iaitu tempat dimana ratusan ribu penduduk terperangkap tanpa makanan, ubat-ubatan dan bantuan luar.

Situasi ini telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang parah, menuntut perhatian dan keprihatinan masyarakat antarabangsa. Sebagai tindak balas, PBB melalui agensinya seperti UNICEF, WFP, WHO dan UNHCR, berusaha menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas. Namun, sekatan ketat oleh RSF di sekitar El Fasher dan Kadugli menyebabkan misi bantuan gagal menembusi kawasan berkonflik. Menurut laporan PBB, Sudan kini berada di ambang kebinasaan kemanusiaan apabila kebuluran melanda hampir setiap wilayah yang terjejas. Kanak-kanak menjadi mangsa paling parah . Hal ini kerana ramai antara mereka kehilangan nyawa setiap minggu bukan kerana peluru, tetapi kerana lapar, sakit, dan ketiadaan bantuan. Kekurangan makanan dan ubat-ubatan telah menjadikan penderitaan rakyat Sudan satu tragedi kemanusiaan yang menggambarkan lemahnya nilai manusiawi di dunia hari ini.

Kegagalan ini turut mencerminkan kelemahan PBB, khususnya Majlis Keselamatan (UNSC) yang sering terikat dengan kepentingan kuasa besar dunia. Cadangan Amerika Syarikat dan Perancis untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin RSF ditolak oleh China dan Rusia atas alasan langkah tersebut mencabuli kedaulatan Sudan. Perbezaan pendirian ini sekali lagi memperlihatkan perpecahan dalam Majlis Keselamatan menyebabkan tiada tindakan tegas dapat diambil bagi menghentikan pertumpahan darah di Sudan.

Bagi menangani ketidaktentuan politik, PBB menubuhkan UNITAMS (United Nations Integrated Transition Assistance Mission in Sudan) pada tahun 2020. Misi ini bertujuan membantu proses peralihan negara itu ke arah pemerintahan sivil dan memulihkan kestabilan selepas kejatuhan rejim Omar al-Bashir. Namun, apabila perang saudara meletus pada 2023, misi UNITAMS terpaksa dihentikan dan ditarik keluar kerana keadaan keselamatan yang semakin meruncing. Penarikan ini meninggalkan jutaan rakyat Sudan tanpa perlindungan dan membuka ruang kepada kekejaman yang lebih dahsyat. Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Türk, memberi amaran bahawa selepas kejatuhan El Fasher, telah berlaku pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik terhadap penduduk awam. Ini menunjukkan tanda yang jelas bahawa krisis di Sudan telah melampaui batas kemanusiaan.

Kini, selepas lebih 18 bulan perang berlarutan, keadaan di Sudan terus merosot dengan amat parah. PBB masih mendesak agar keganasan dihentikan, namun usaha diplomatik gagal menandingi kerakusan kuasa dan kepentingan ekonomi pihak-pihak yang bertelagah. “Anak-anak di El Fasher dan Kadugli tidak lagi menangis kerana lapar; mereka sudah terlalu lemah untuk menangis,” . Demikian laporan menyayat hati daripada UNICEF November 2025, yang menggambarkan betapa gentingnya situasi kemanusiaan di Sudan hari ini.
Krisis ini bukan sekadar tragedi sebuah negara, tetapi cerminan kegagalan sistem antarabangsa dalam menegakkan keamanan. Tuntasnya, keadaan ini memperlihatkan bahawa dunia moden sedang kehilangan nilai belas kasihan dan keadilan. Tanpa tindakan tegas dan kesepakatan global, institusi seperti PBB akan terus gagal melindungi manusia daripada kezaliman manusia sendiri.

Penulis Artikel:
Nazhratun Najwa Binti Alias
Pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Usuluddin,
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Isla, Universiti Malaya.

Scroll to Top