Teluk Intan: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan projek perumahan di seluruh negara akan disiapkan mengikut jadual meskipun berdepan krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat, mutakhir ini.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah untuk memastikan sasaran berkenaan tercapai.
“Kita (KPKT) sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia), Master Builders Association Malaysia (Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia) dan lain-lain untuk pastikan supaya projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Saya telah arahkan Jabatan Perumahan Negara untuk longgarkan sedikit syarat, mempermudah projek-projek perumahan khususnya projek perumahan mampu milik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pembeli rumah yang melahirkan kebimbangan sekiranya projek perumahan mereka tertangguh akibat krisis tenaga global.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mohd Jamil Idris.
Sementara itu, Nga berkata rakyat berpendapatan rendah akan terus menikmati subsidi pada kadar RM20,000 bagi projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah seliaan SPNB.
Beliau berkata kerajaan terus komited membantu golongan berkenaan memiliki rumah dengan mengekalkan kadar bayaran RM55,000 berbanding kos sebenar RM75,000 bagi setiap unit dengan menyasarkan sebanyak 6,545 unit RMR tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




