Kronologi kes Zara Qairina

Kronologi kes Zara Qairina

Kuala Lumpur: Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

Kes kematian itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan buli dalam kalangan pelajar, mendapat perhatian meluas di media sosial berikutan dakwaan membabitkan anak seorang menteri, orang kenamaan (VIP) dan individu ternama lain.

Dakwaan itu mencetuskan reaksi orang ramai yang menuntut keadilan buat mangsa.

Tragedi itu juga mencetuskan luahan rasa sedih dan solidariti, bukan saja di kalangan rakyat Sabah, tetapi seluruh negara dengan #JusticeForZara menjadi sohor kini di pelbagai platform media sosial.

Kronologi Peristiwa:

• 16 Julai: Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada jam 3 pagi. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I.

• 17 Julai: Zara Qairina disahkan meninggal dunia dan kemudiannya dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.

• 18 Julai: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan.

• 21 Julai: Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya. Wanita itu mendedahkan kali terakhir melihat anak tunggalnya adalah semasa program gotong-royong sekolah pada 12 Julai.

• 28 Julai: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut. Beliau menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.

• 30 Julai: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu, sama ada oleh dirinya atau isteri, Cikgu Rosnih Nasir iaitu bekas pengetua sekolah yang berkhidmat dari 20 Mac hingga 22 November 2024, sebelum bersara. Beliau menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan di Parlimen sebagai tidak berasas dan merosakkan reputasi.

• 31 Julai: Polis mengesahkan mereka berada di peringkat akhir siasatan. Pesuruhjaya Jauteh Dikun berkata kertas siasatan diserahkan kepada Bukit Aman untuk semakan akhir sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Seramai 60 individu direkod keterangan.

• 1 Ogos: Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan. Peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.

• 6 Ogos: Peguam yang mewakili ibu mangsa menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, yang boleh menyebabkan tekanan kepada keluarga dan mungkin membawa kepada akibat jenayah.

• AGC memulangkan laporan siasatan awal kepada pihak polis dengan arahan melengkapkan siasatan. AGC menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi imej kanak-kanak yang didakwa terbabit kes itu.

• Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi amaran bahawa penyebaran kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan siasatan dan menafikan keadilan.

• 7 Ogos: Ibu Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara dirinya dan arwah anak perempuannya, kepada polis untuk membantu siasatan.

• Kementerian Pendidikan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran hantaran dan video yang mengelirukan berkaitan kes itu, dengan alasan kebimbangan terhadap potensi gangguan awam yang ditujukan kepada guru dan pelajar.

• Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk memastikan siasatan teliti. SKMM turut memberi amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.

• Ibu Zara Qairina memberi keterangan di balai polis Sipitang.

• Kementerian Pendidikan memberi jaminan kepada ibu bapa mengenai komitmen meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, dengan menyatakan bahawa 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini kekal menjadi pilihan utama keluarga.

• 8 Ogos: AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

• 9 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.

• Prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

• Proses menggali semula mayat Zara Qairina bagi prosedur bedah siasat dilaksanakan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top