am@hmetro.com.my
Melaka: “Ketika kejadian saya berada di bahagian belakang helikopter… selepas pintu dibuka, saya orang kedua yang timbul.
“Orang ketiga ialah juruterbang dan yang terakhir Tuan Afiq (Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz),” kata Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi.
Beliau adalah antara empat mangsa insiden helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi.
Mohammad Zullfika yang mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam perkhidmatan berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata dan benar-benar di luar jangkaan memandangkan latihan sudah dijalankan berulang kali, termasuk latihan penerbangan pada waktu malam.
“Kami berada di sini hari ketujuh dan ini bukan kali pertama latihan malam dilaksanakan.
“Latihan dibuat berkali-kali, cuaca pada malam kejadian juga sangat baik, bulan terang, langit cerah dan tiada awan,” katanya ketika ditemui di Zon Kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts Shamsuddin Ludin meluangkan masa melawat keempat-empat mangsa kejadian berkenaan di Hospital Melaka.
Mohammad Zullfika turut menafikan faktor cuaca sebagai punca kejadian, sebaliknya memaklumkan semua prosedur pemeriksaan sudah dilaksanakan sebelum penerbangan.
Katanya, helikopter berkenaan sepatutnya melakukan demonstrasi menyelamat tebusan menggunakan bot sempena program yang berlangsung.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika pesawat sedang berada dalam keadaan ‘holding’ bagi menyelaraskan pergerakan bersama bot.
“Selepas berjaya keluar dari helikopter, kami dibawa ke pantai untuk menerima rawatan awal seterusnya dihantar ke hospital, manakala Tuan Afiq dirujuk terus ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Beliau berkata, dia mengalami kecederaan di bahagian pinggang serta betis kanan, namun masih mampu berjalan sejurus kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




