Kru terlihat 'dua Ain'

Kru terlihat 'dua Ain'

Rahmanmohamadridzuan@hmetro.com.my

Bukan sekadar memaparkan kisah makhluk ghaib, filem komedi seram, Paraxnormal turut menyingkap sisi gelap sifat tamak, dengki dan iri hati manusia.

Naratif naskhah terbitan Nanord Studio Production ini turut menggabungkan aspek seram, psikologi, komedi dan isu persahabatan.

Penerbitnya, Nurul Ain Nordin berkata, pihaknya mendapat inspirasi menghasilkan naskhah ini secara spontan ketika berbual bersama sahabatnya yang juga pelakon dan penulis skrip, Epy Kodiang.

“Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini. Jadi, kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetus idea untuk menghasilkan Paraxnormal.

“Naskhah ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej mendalam mengenai erti ‘kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri’,” katanya.

Menurut Nurul Ain lagi, barisan pelakon yang ditampilkan juga antara tarikan untuk menonton filem ini.

“Menerusi filem ini, barisan pelakon utama terdiri daripada gabungan pelakon berpengalaman dan pelapis baharu.

“Misalnya, artis serba boleh seperti Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang, Amir Nafis serta turut dibantu Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Yusoff,” katanya.

Tambahnya, kombinasi pelakon pelbagai latar dan generasi berjaya mencipta keserasian luar biasa dan menjadi ia sebuah naskhah yang segar.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Ain memberitahu mereka mula merancang Paraxnormal sebagai Super Telemovie pada 2023, namun disebabkan kekuatan jalan ceritanya, Paraxnormal diputuskan untuk dibawa ke layar perak.

Namun, penerbit berkenaan turut mendedahkan bahawa proses penggambaran tidak semudah disangka.

“Antara cabaran yang dihadapi termasuk masalah teknikal seperti monitor dan kabel yang rosak walau selepas diganti serta kejadian aneh yang sukar dijelaskan.

“Selain itu, ada hari waktu penggambaran, kru yang mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak di lokasi, selain insiden penolong pengarah mengamuk tanpa sebab dan kemudian pengsan secara tiba-tiba, yang mana pada waktu itu penggambaran terpaksa ditangguhkan,” kongsinya.

Sebagai penerbit, Ain menaruh harapan supaya filem yang ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos depan diterima baik oleh penonton dan menjadi salah satu filem seram tempatan yang meninggalkan kesan.

Paraxnormal mengangkat kisah empat sahabat karib yang secara tidak sengaja mengalami pelbagai kejadian menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri yang dikatakan berhantu, tetapi menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top