KRW FC bukan penanggung hutang lama

KRW FC bukan penanggung hutang lama

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menegaskan mereka tidak mempunyai kaitan dengan liabiliti mahupun isu pentadbiran yang melibatkan entiti lama, Kelantan FC, susulan laporan berkaitan surat rasmi yang diterima daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, KRW FC menjelaskan bahawa mereka adalah sebuah kelab baharu yang sah ditubuhkan pada Disember 2024 dan didaftarkan secara rasmi untuk bersaing dalam Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026.

“KRW FC ingin menegaskan bahawa kami beroperasi sebagai sebuah entiti yang berbeza, bebas dan bersaing daripada mana mana liabiliti mahupun pentadbiran pasukan lama,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, pengurusan KRW FC memaklumkan mereka sentiasa terbuka dan bertanggungjawab terhadap sebarang permintaan atau siasatan daripada mana mana badan bola sepak termasuk FIFA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pihak kelab juga menyatakan bahawa mereka memberikan kerjasama penuh serta menyerahkan maklum balas rasmi seperti yang diminta dalam tempoh ditetapkan.

Dalam masa sama, KRW FC turut memaklumkan bahawa segala usaha dan perancangan kelab sejak awal penubuhan berasaskan nilai integriti, profesionalisme dan semangat juang tinggi demi memartabatkan semula bola sepak Kelantan.

“Kami akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh semangat, komitmen dan disiplin tinggi demi membina masa depan bola sepak Kelantan yang lebih cemerlang dan bermaruah,” jelas kenyataan itu lagi.

Kelab itu turut merakamkan penghargaan kepada penyokong, penaja dan pihak berkepentingan atas kepercayaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi sejak penubuhan mereka.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan isu lama pasukan Kelantan FC kini kembali menghantui apabila FIFA dilaporkan sudah menghantar surat rasmi kepada Kelantan KRW yang kini bersaing dalam Liga A1 Semi Pro.

Surat tunjuk sebab itu dikatakan berkait dengan perkara belum selesai daripada zaman pengurusan Kelantan FC sekali gus mencetus persoalan mengenai kaitan sebenar antara kedua dua entiti bola sepak negeri Pantai Timur itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya menerima surat daripada FIFA sebelum menyerahkannya kepada Kelantan KRW pada Jumaat lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top