firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kelantan Red Warrior FC (KRW) difahamkan kini ibarat telur di hujung tanduk apabila kemungkinan tidak dapat beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026.
Menurut sumber, kelab berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan Kelantan FC yang dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan difahamkan kini berdepan masalah pendaftaran pemain apabila sistem berkenaan ditutup ekoran isu penggantungan dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Justeru, KRW FC yang berpengkalan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dikatakan ketika ini cuba menggunakan kata laluan dalam sistem ‘Mypass’ Persatuan Bolasepak Negeri (FA) lain untuk membolehkan kelab itu mendaftarkan pemain.
“Mereka perlu dapatkan kelulusan dan sokongan kerana setiap kelab yang bertanding dalam liga domestik kena dapatkan kebenaran FA sebagai ahli gabungan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).
“Pasukan itu sebelum ini sudah mendapatkan kelulusan KAFA sebelum KAFA digantung. Jadi pengesahan itu masih boleh digunakan kerana kelulusan itu diberi sebelum digantung.
“Cuma isunya sekarang, KRW FC tak boleh nak ‘login’ masuk dalam sistem ‘MyPass’ kerana kata laluan yang diberikan kepada KAFA sudah disekat (sekatan sebab KAFA digantung).
“Jadi memang benar KRW FC sedang cuba mendapatkan bantuan atau sokongan dan kelulusan FA lain yang boleh bantu supaya pemain boleh didaftarkan.
“Isu kenapa FA macam susah nak bantu, sebab risau jika berlakunya tunggakan gaji pemain, ia akan beri kesan negatif kepada FA berkenaan. Ibarat FA ini macam penjamin lah,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan KRW FC dikenakan sekatan oleh FIFA.
Difahamkan, larangan itu dikeluarkan susulan isu berkaitan dokumentasi dan status semasa kelab terbabit yang dikatakan mempunyai hubungan dengan The Red Warriors atau Kelantan FC.
Namun, KRW FC tampil menjelaskan mereka tidak memiliki kaitan dengan liabiliti mahupun isu pentadbiran membabitkan entiti lama, Kelantan FC selepas laporan berkaitan surat rasmi yang diterima daripada FIFA.
Dalam kenyataan rasmi, KRW FC menyatakan mereka adalah sebuah kelab baharu yang sah ditubuhkan pada Disember 2024 dan didaftarkan secara rasmi untuk bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd