sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior (KRW) FC menjadi mangsa isu tunggakan gaji apabila terpaksa menanggung ‘hutang orang lain’ yang mencecah hampir RM1.7 juta.
Jumlah itu membabitkan sembilan kes tunggakan gaji yang dituntut menerusi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan ia perlu diselesaikan KRW FC sekiranya mahu bebas daripada sekatan pendaftaran pemain.
Apa yang menyedihkan, hutang itu dikatakan membabitkan tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai Kelantan FC, namun kesannya terpaksa ditanggung KRW FC apabila mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baharu.
Tuntutan terbabit dibuat terhadap KRW FC selepas mereka dianggap memiliki entiti sama dengan Kelantan FC meskipun pengurusan kelab itu sebelum ini sudah berulang kali menafikan perkara berkenaan.
Penolong pengurus KRW FC, Wan Afiq Amirul Wan Roslan menjelaskan perkara berkenaan sudah dibawa ke mahkamah bagi membuktikan kelab itu memang tiada kaitan dengan Kelantan FC.
“Sekarang ada sembilan kes di FIFA dan tuntutan mereka (bekas pemain dan pegawai Kelantan FC) menghampiri RM1.7 juta.
“Kami sudah terangkan kepada mereka siapa kami dan latar belakang kelab, namun mereka masih lagi menafikan bahawa kami entiti baharu.
“Benda ini pun kami sudah ada surat mahkamah kepada Kelantan FC dan sekarang ini masih lagi dalam proses mahkamah untuk pihak KRW FC mempertahankan bahawa perkara itu bukan masalah kami.
“Kami sudah bertanya kepada peguam, dia kata keputusan mahkamah mungkin bukan tahun ini, mungkin masa jendela (perpindahan) kedua dibuka.
“Namun, saya difahamkam perbincangan itu sedang berjalan dan saya tidak boleh mengulas lanjut bimbang tersalah maklumat.
“Kami berharap kes mahkamah selesai dengan baik dan kami memperoleh kemenangan yang mana ia akan (menjadi) cukup kukuh untuk dibuktikan kepada FIFA bahawa KRW FC tiada kena mengena dengan kelab lama,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sekatan pendaftaran pemain menyebabkan KRW FC tidak boleh memperkuatkan skuad mereka dengan pemain baharu yang lebih berkualiti, sekali gus bergelut untuk bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Super.
Oleh kerana proses mahkamah dijangka memakan masa, Wan Afiq menjelaskan kelab itu bersama rakan penaja sedang dalam proses pengumpulan dana untuk menyelesaikan kes sekatan pendaftaran pemain daripada FIFA.
Beliau menjelaskan, usaha itu dilakukan demi memastikan skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim dapat diperkuatkan dengan barisan pemain baharu terutama tonggak import untuk memberi saingan lebih hebat dalam liga.
“Buat masa sekarang kami masih dalam pengumpulan dana yang mana Nasken Coffee dan Elrah membantu untuk menyelesaikan hutang yang bukan kami sepatutnya kena bayar, tetapi kami cuba buat demi rakyat Kelantan.
“Mungkin kami akan cuba untuk berunding sehabis baik dengan mereka yang membuat tuntutan itu, mungkin bayar 50 peratus. Sekurang-kurangnya, sebagai contoh tuntutan mereka RM100,000 mungkin kami boleh bayar RM50,000 sahaja.
“Kami memang mengharapkan mereka bersimpati kepada KRW FC sebab kami jelas nak bantu Kelantan bangkit dalam Liga Super,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
