sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Meskipun taraf pasukan berbeza, namun Kelantan Red Warrior (KRW) berjaya mengikat pasukan Liga Super, Penang FC 0-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Kedua pasukan banyak membuat beberapa percubaan menjaringkan gol namun gagal sehingga tamat babak pertama.
Aksi menarik muncul di minit ke-27 menerusi sepakan penjuru kanan gol oleh Philip Dandada Musa namun berjaya ditepis penjaga gol, Mohamad Ramadhan Ab Hamid.
Bola muntah cuba diselamatkan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali namun percubaan lemah beliau tersasar keluar.
Minit ke-39 menyaksikan gawang pelawat teruji menerusi rembatan Emmanuel Mbarga namun sekali lagi diselamatkan Mohamad Ramadhan, sekali gus menyaksikan kedudukan seri 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail cuba membuat beberapa serangan namun terus tumpul jaringan.
Peluang Penang muncul menerusi tandukan Douglas Cautinho minit ke-74 namun tersasar ke kiri gawang.
Kedua pasukan akan kembali beraksi dalam timbal balik pada 14 Februari ini di Stadium Bandaraya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




