fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Seorang pekerja warganegara India yang dianiaya majikannya di Pahang, diselamatkan dalam satu operasi dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang, semalam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat dalam bentuk kiriman video sebelum mereka menjalankan operasi menyelamat di sebuah premis di Raub.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati majikan dan pekerja itu sendiri melakukan beberapa kesalahan manakala ejen yang didakwa membawa masuk pekerja terbabit sudah dikenal pasti.
Katanya, mangsa dijanjikan permit bekerja selepas ejen membawanya masuk ke Malaysia pada 2019 dengan pas lawatan sementara, namun urusan permohonan permit tertangguh dengan alasan negara berdepan wabak COVID-19, menyebabkan pekerja terbabit bekerja tanpa permit sah.
“Majikan pula mengambil kesempatan menggajikan beliau dengan bayaran RM1,500 sebulan dan membuat potongan yang tidak perlu. Antaranya potongan sewa bilik dan potongan elaun makan yang mana potongan ini perlu mendapat permit kebenaran JTK.
“Jumlah baki gaji pekerja sepatutnya RM800 selepas potongan, namun majikan hanya membayar RM500 setiap bulan.
“Pekerja terbabit dikerah untuk bekerja selama 16 jam berbanding tempoh dibenarkan iaitu 12 jam dan tidak diberikan cuti rehat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saravanan berkata, pekerja terbabit juga tidak dibayar gaji selama lebih tujuh bulan sehingga menyebabkan mangsa mengambil tindakan membuat aduan menerusi rakaman video dan menyerahkannya kepada kementerian itu.
Beliau berkata, JTKSM juga sudah berbincang dengan pihak majikan dan mendapatkan baki tunggakan gaji sebanyak RM6,000 yang dibayar secara tunai pada hari sama.
Katanya, pekerja berkenaan kemudian dibawa dan diserahkan kepada pihak Kedutaan India di Kuala Lumpur untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Kedutaan memaklumkan bahawa pekerja terbabit akan dihantar pulang dalam tempoh seminggu selepas proses dokumentasi selesai.
“Urusan penghantaran ini dilakukan sepenuhnya oleh pihak Kedutaan India,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd