lokman.khairi@hmetro.com.my
Kajang: Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan, lebih awal berbanding jadual asal 2029.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, projek membabitkan laluan sepanjang 265 kilometer (km) dari Abdullah Hukum hingga Pelabuhan
Klang serta Salak Selatan hingga Seremban itu kini berjalan lancar dengan sebahagian kerja utama sudah mencapai 50 peratus siap.
Menurutnya, kerja naik taraf berkenaan amat diperlukan memandangkan infrastruktur sedia ada sudah digunakan lebih 30 tahun sejak perkhidmatan KTM Komuter elektrik pertama diperkenalkan pada 1994.
“Apabila siap nanti, operasi tren akan menjadi lebih selamat dan lancar selain memberi keselesaan kepada penumpang. KTMB juga dapat meningkatkan kekerapan tren.
“Ketika ini kekerapan tren paling minimum ialah setiap 20 minit, tetapi selepas projek siap ia boleh ditingkatkan kepada 15 minit dan di pusat bandar sehingga 7.5 minit,” katanya selepas tinjauan media menggunakan gerabak troli landasan dari Stesen Bandar Tasik Selatan ke Kajang, di sini, hari ini.
Afzar berkata, sepanjang pelaksanaan projek itu, satu landasan terpaksa ditutup dan KTMB hanya menggunakan satu landasan secara bersama bagi perkhidmatan Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS) serta kargo.
Katanya, bagi memastikan kerja naik taraf dapat dipercepatkan, KTMB melaksanakan ‘line block’ sepenuhnya bermula 9.30 malam hingga 5.30 pagi untuk memberi laluan kepada kontraktor menjalankan kerja pembinaan.
“Pada waktu siang pula, perkhidmatan turut dikurangkan antara jam 10 pagi hingga 4 petang bagi memberi laluan kepada tren ETS dan kargo yang tidak boleh beroperasi pada waktu malam.
“Kami berharap penumpang dapat memahami keadaan semasa kerana kesulitan sementara ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara apabila projek siap sepenuhnya kelak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Afzar berkata, KTMB turut memperketat langkah mitigasi bagi menangani kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan operasi semboyan dan ketepatan jadual tren.
“Kabel baharu ditanam lebih dalam iaitu kira-kira 0.8 meter dan rondaan berkala dilakukan bersama kontraktor bagi mengurangkan kes kecurian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, Manoj Radhakrishnan berkata, sasaran baharu projek ialah disiapkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal berbanding jadual asal pada 2029.
Menurutnya, laluan dari Salak Selatan ke Pelabuhan Klang sudah mempunyai satu landasan lengkap yang kini boleh digunakan bagi operasi kargo dengan kapasiti 20 tan axle load (beban gandar).
“Bagi laluan Seremban pula, satu landasan dari Bangi ke Seremban sudah siap sepenuhnya dan kerja kini tertumpu dari Bandar Tasik Selatan ke Bangi.
“Menjelang pertengahan tahun ini, keseluruhan sambungan bagi laluan 20 tan axle load dapat digunakan sekali gus menyokong inisiatif Road-to-Rail oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, projek itu turut merangkumi kerja menaik taraf sistem semboyan daripada ‘track circuit’ kepada ‘axle counter’ selain pembaharuan sistem talian atas elektrik dan kemudahan stesen termasuk lif orang kurang upaya (OKU), bumbung serta lantai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




