am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kementerian Pengangkutan mengumumkan pembelian 12 set tren elektrik baharu bernilai RM283 juta bagi meningkatkan perkhidmatan KTM Komuter Utara.
Menterinya, Anthony Loke, berkata melalui pembelian itu, syarikat CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd akan menyerahkan tren baharu berkenaan secara berperingkat dalam tempoh 36 bulan.
“Kerajaan pada 20 Mac lalu telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd melalui tender terbuka bagi perolehan 12 set tren Three Car Set (3CS) untuk perkhidmatan KTM Komuter Utara.
“Pembinaan tren baharu ini akan bermula serta-merta dan dibekalkan secara berfasa dalam tempoh 36 bulan, dengan tren pertama dijangka diterima dalam tempoh 22 bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Loke berkata, kos keseluruhan pembelian tren berjumlah RM283 juta itu merangkumi kerja reka bentuk, pembinaan, penghantaran, pengujian dan pentauliahan tren sebelum diserahkan kepada KTMB untuk operasi penuh.
“Perolehan 12 set tren baharu ini dijangka akan meningkatkan frekuensi perkhidmatan KTM Komuter Utara, sekali gus mengurangkan waktu menunggu penumpang.
“Kita akan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, moden dan efisien kepada semua pengguna dalam sektor ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd