Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sejumlah 186 tren tambahan, melibatkan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dan EMU Plus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan musim cuti persekolahan 22 Mei hingga 7 Jun ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyediaan tren tambahan itu melibatkan kapasiti berjumlah 58,380 tempat duduk, untuk menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah.
Tiket untuk perkhidmatan tren tambahan itu akan mula dijual 12 tengah hari esok (9 Mei) menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB di stesen terpilih, menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu sebanyak 15,072 tiket ditawarkan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, melibatkan perjalanan bermula 22-26 Mei, 29-31 Mei serta 4-7 Jun, manakala 7,584 tiket disediakan masing-masing bagi laluan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral untuk tempoh sama.
Bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral, sebanyak 18,960 tiket ditawarkan melibatkan perjalanan 22-26 Mei, 29-31 Mei serta 1-7 Jun, selain 9,180 tiket EMU Plus laluan Klang-Ipoh-Klang menerusi perkhidmatan EMU Plus bagi perjalanan 22-24 Mei, 29-31 Mei serta 5-7 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan tren tambahan yang disediakan sebelum ini, amat menggalakkan semasa Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri lepas, khususnya bagi laluan berpermintaan tinggi seperti sektor Johor Bahru.
Beliau berkata inisiatif kerajaan menerusi kempen Road to Rail turut memberi impak positif, dalam menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan kereta api yang lebih selamat, selesa dan efisien.
“Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara,” katanya.
Sementara itu, KTMB berkata jualan tiket tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur yang diumumkan pada 24 April bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung halaman, menerima sambutan positif apabila sebanyak 447 daripada 912 tiket yang ditawarkan, berjaya dijual setakat ini.
KTMB turut menawarkan diskaun 30 peratus bagi tren ELA 1029 dari Tumpat ke KL Sentral untuk kategori tempat duduk Superior Seater melibatkan 274 tempat duduk terhad mulai 11 Mei ini, dengan harga tiket serendah RM56 berbanding tambang asal RM80.
© New Straits Times Press (M) Bhd




