mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Saji hiburan berkonsepkan KTV dengan menyediakan dua bilik karaoke hanya untuk pelanggan warga Myanmar.
Itu kegiatan sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Bandar Manjalara, di sini yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) untuk pelanggan warga asing.
Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menjalankan Op Noda pada 12.10 tengah malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam serbuan itu, seramai 20 individu warga Myanmar berusia 18 hingga 39 tahun ditahan.
Menurutnya, tangkapan terdiri daripada tujuh wanita disyaki GRO, seorang penjaga premis dan pekerja serta 11 pelanggan lelaki.
“Polis merampas peralatan audio, ‘dekoder’, tablet, minuman keras, buku resit jualan serta wang tunai.
“Siasatan awal mendapati premis tidak mempunyai lesen perniagaan, selain menggajikan pekerja asing secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pusat hiburan ini berkonsepkan KTV dengan menyediakan dua bilik karaoke hanya untuk pelanggan warga Myanmar.
“Ada antara tangkapan warga asing ini menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




