suliati@hmetro.com.my
DEMI anak yang memerlukan lebih dari sekadar kasih sayang, seorang ibu sanggup melepaskan kerjaya stabil dan gaji tetap hanya untuk berada di sisi si kecil itu bagi memberikan perhatian sepenuh jiwa.
Itulah pengorbanan besar dilakukan Petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lembah Pantai Eda Ezani Abd Rahman, 39, yang nekad meninggalkan kerjayanya sebagai ‘payroll executive’ selepas anak perempuannya, Siti Aisyah Muhammad Syahir, 7, disahkan autisme.
Selama 10 tahun menjalani kehidupan dan rutin yang padat, Eda Ezani yang lebih mesra disapa Eda ini, akhirnya menemui matlamat dan kerjaya baru iaitu membesarkan anak istimewa serta membantu kanak-kanak sepertinya berkembang mengikut dunia mereka sendiri.
Cerita Eda, dia mula menyedari ada sesuatu yang berbeza apabila Aisyah pada ketika itu berusia satu tahun lapan bulan masih belum boleh bertutur, tidak menyahut panggilan, suka bermain sendiri, sensitif pada bunyi yang kuat dan kerap tantrum kerana sukar menyampaikan kehendaknya.
“Walaupun ketika itu saya masih berfikiran positif dan menganggap mungkin anak mempunyai perkembangan yang lambat berbanding rakan sebayanya, tetapi perasaan juga bercampur baur. Sedih, risau, takut dan rasa bersalah. “Apabila doktor mengesahkan Aisyah mengidap autisme, berat untuk saya terima. Namun, secara perlahan-lahan saya reda dan semuanya berjalan lancar.
“Saya juga terus fokus mencari solusi dan bantu anak capai potensinya termasuk mencari pusat terapi dan sekolah yang bersesuaian dengan keperluannya,” katanya.
Momen yang menjadi titik perubahan besar dalam hidup Eda adalah apabila Aisyah diterima masuk ke Permata Kurnia. Di situ, Aisyah ditempatkan dalam program intervensi awal yang membenarkan ibu bapa turut serta dalam kelas sekali gus memberi pengalaman bermakna buat Eda.
Katanya, walaupun niat utama adalah untuk menemani anak tetapi Eda juga belajar cara untuk mengendalikan anak-anak autisme.
“Melalui sesi terapi dan aktiviti dalam kelas, saya dapat melihat perkembangan yang sangat positif dari Aisyah.
“Dari situlah bermulanya minat saya dalam bidang pendidikan khas dan tekad untuk tukar haluan hidup.
“Saya juga mula belajar dan mengambil kursus dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak,” katanya.
Perubahan dan peralihan dari suasana bekerja di pejabat ke dunia pendidikan khas bukan sesuai yang mudah.
Menurut Eda jika sebelum ini dia bekerja mengikut jadual, kerja lebih banyak depan komputer dan bercakap dengan orang dewasa, dalam dunia pendidikan khas semua itu berubah.
Katanya, setiap hari dia perlu menjadi lebih fleksibel dan sabar kerana anak-anak istimewa tidak ikut ‘jadual biasa.’
“Anak-anak ini belajar ikut rentak mereka sendiri sehingga saya sendiri perlu belajar untuk sabar, belajar memahami isyarat tanpa kata dan hargai kemajuan kecil yang selama ini tidak dipandang pun.
“Saya juga perlu belajar mengenai autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), proses sensori, cara berkomunikasi dengan anak ‘non-verbal’ dan juga cara kawal emosi sendiri,” katanya.
Eda juga berdepan dengan cabaran yang cukup besar terutama dari segi kewangan sekali gus memaksa mereka sekeluarga mengubah gaya hidup.
Malah, emosinya juga sering terganggu kerana rindu suasana kerja lama, masa untuk diri sendiri dan rasa tidak pasti dengan masa depan.
“Sejujurnya, ada satu ketika saya mahu berhenti. Pernah juga terdetik dalam hati, ‘kenapa aku dan sampai bila aku kena kuat?”Namun, saya pegang pada satu perkara iaitu hanya ibu yang tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Dia tidak pernah minta dilahirkan begitu, tapi dia tetap senyum dan mencuba walaupun dunianya jauh lebih mencabar dari orang lain.
“Jadi, setiap kali terasa mahu berputus asa, saya akan ingat tujuan asal iaitu mahu melihat Aisyah membesar dalam persekitaran yang memahami dan menyokongnya,” katanya.
Ungkapan sang suami yang terus digenggam erat iaitu ‘kita tidak boleh kawal takdir, tapi kita boleh pilih untuk hadapinya bersama’ juga antara perisai Eda dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang selain sokongan keluarga yang kuat.
Menurut Eda, dia juga percaya pada kuasa doa.
“Apabila semua rasa hilang arah, saya akan sujud dan meluahkan segalanya kepada Allah.
“Dari situ datang ketenangan yang saya sendiri tidak dapat dijelaskan. Rasa macam… ya, aku tak keseorangan,” katanya.
Sejak bekerja dengan anak-anak istimewa, Eda rasa hidupnya lebih bermakna.
Sekecil-kecil perubahan yang ditunjukkan anak-anak istimewa ini adalah satu keajaiban baginya dan petugas yang lain.
“Apabila anak yang dulu langsung tidak bercakap tiba-tiba sebut ‘ibu’ atau anak yang dulu takut sentuhan mula hulur tangan minta peluk, keterujaan itu tidak tergambar dengan kata-kata.
“Lebih menyentuh hati apabila ibu bapa terutama ibu datang memeluk Eda dan ucap terima kasih lalu berkata ‘Saya dah tak rasa keseorangan.’
“Saat itu, saya merasa semua pengorbanan, penat dan air mata yang mengalir sangat-sangat berbaloi,” katanya.
Bagi Eda, apabila kita bantu anak-anak ini, kita bukan saja ubah hidup mereka tapi ubah satu keluarga.
Oleh itu, dirinya berharap masyarakat boleh buka mata dan hati lebih luas untuk melihat anak-anak keperluan khas ini bukan pelik, nakal atau beban sebaliknya mereka hanya mahu belajar dan melihat dunia dengan cara yang berbeza.
“Apabila melihat anak tantrum di tempat awam atau bila ada anak yang tak bercakap, jangan buat andaian dan belajar untuk hormat serta terima mereka seadanya.
“Tidak perlu faham semua, tapi cukup dengan empati dan sokongan kecil seperti beri ruang, senyum atau menghulurkan bantuan. Itu pun sudah cukup besar bagi kami,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd