Kualiti bezakan pemenang di Petaling Jaya: Wan Rohaimi

Kualiti bezakan pemenang di Petaling Jaya: Wan Rohaimi

KUALITI membezakan pemenang perlawanan separuh akhir kedua Piala Cabaran, Selangor FC menentang Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Itu rumusan pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail selepas cabaran The Black Panthers dihentikan The Red Giants di pentas empat terakhir dengan agregat 2-0.

Namun di sebalik itu, Wan Rohaimi mengakui berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan pemain pasukannya sepanjang perlawanan tersebut.

“Sejujurnya saya amat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan pemain yang berjuang hingga minit akhir perlawanan biarpun menyedari bahawa perlawanan ini sangat mencabar.

“Selangor memiliki barisan pemain berstatus bintang manakala Penang pula dibarisi pemain yang mungkin sederhana, tetapi tetap menunjukkan semangat juang tinggi.

“Apabila Fortes mendapat satu peluang, dia berjaya menjaringkan gol. Sebaliknya pemain kami apabila mendapat beberapa peluang gagal menyudahkannya. Itu perbezaan utama dalam perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan.

Sebelum itu, hasrat Black Panthers untuk mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran tidak kesampaian selepas tewas agregat 2-0 kepada Red Giants.

Jaringan Alvin Fortes minit ke-66 menoktahkan kemaraan anak buah Wan Rohaimi dengan kekalahan 0-1 selepas tewas jaringan sama dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya pada 19 Januari lalu hasil jaringan sendiri kapten Penang, Rafael Vitor.

Menurut Wan Rohaimi lagi, Penang mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama mempunyai lebih banyak peluang berbanding Selangor.

“Kami berjaya mengimbangi perlawanan dalam tempoh 45 minit pertama. Malah, saya rasa peluang lebih banyak memihak kepada Penang. Namun, peluang-peluang yang seharusnya disempurnakan tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Saya juga harus memberi pujian kepada penjaga gol Selangor (Kalamullah Al-Hafiz) yang tampil beraksi cemerlang dalam perlawanan ini,” katanya.

Tambah Wan Rohaimi, pengalaman juga memainkan peranan penting dalam perlawanan berintesiti tinggi di Petaling Jaya berkenaan.

“Kita tidak boleh membeli pengalaman. Pemain perlu menghadapinya sendiri. Jika peluang dimiliki Akid Zamri tadi jatuh kepada pemain seperti Ifedayo Olusegun atau Romel Morales, mungkin sudah menjadi gol.

“Namun, Akid masih muda hanya berusia 21 tahun, dan masih banyak ruang untuk berkembang,” katanya yang berharap pemainnya dapat belajar daripada kesilapan perlawanan tersebut untuk menjadi lebih matang pada masa depan.

Scroll to Top