Kuarantin, rakyat Malaysia di Chile tidak perlu bimbang, kata duta

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Isnin lepas, kerajaan Chile mengumumkan lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula hari ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Berikutan pengumuman kerajaan Chile mengenai lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula esok akibat penularan Covid-19, duta Malaysia ke negara itu, Abu Bakar Mamat menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

Beliau berkata, kedutaan sering berhubung dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di ibu kota Santiago dan mereka rata-rata kini berada dalam keadaan baik, menjalani kehidupan harian dalam keadaan tenteram dan terkawal.

“Rakyat Malaysia di sini (Chile) lebih kurang 50 orang, termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan kami. Yang berdaftar dengan kami hanya 31 orang. Kita nasihatkan supaya rakyat Malaysia di sini untuk patuh segala protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan.

“Untuk keluarga di Malaysia, tak perlu bimbang. Keadaan kami di sini terkawal dan kehidupan tetap seperti biasa, cuma.. ada kawasan tertentu yang perlu kuarantin, kita masih boleh dihubungi.

Duta Malaysia ke Chile Abu Bakar Mamat.

“Keadaan di sini tenteram, suasana aman dan tiada masalah bagi kelengkapan barangan keperluan harian,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lepas, kerajaan Chile mengumumkan lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula hari ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Enrique Paris berkata, 21 bandar di wilayah metropolitan Santiago, termasuk Maipu dan Puente Alto, yang paling banyak penduduk, akan diletakkan dalam kuarantin, serta 21 daerah lain di wilayah Coquimbo, Valparaiso dan O’Higgins, dan Maule, Nuble, Biobio dan Los Lagos.

Abu Bakar berkata, menjelang bulan Ramadan, pihak kedutaan akan turut mengadakan program bantuan dan agihan makanan serta jamuan berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Chile.

Merujuk kepada jumlah kes positif, Chile mencatatkan 947,783 kes Covid-19 dengan 22,402 kematian direkodkan.