syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usahawan disaran agar menguasai keseluruhan ekosistem digital bagi menyesuaikan diri dengan perubahan corak pertumbuhan perniagaan masa kini.
Ia termasuk penguasaan dalam strategi pengiklanan, data serta kecerdasan buatan (AI).
Penaung Muslim Insiders Chamber of Commerce, Datuk Seri Dr Zurainah Musa berkata, landskap perniagaan kini berada dalam fasa di mana syarikat tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pemasaran tradisional.
Menurutnya, untuk ‘menang’ pada 2026, perniagaan perlu menguasai keseluruhan ekosistem digital bermula daripada penghasilan kandungan, penciptaan trafik hinggalah kemampuan menukar perhatian audien kepada jualan sebenar.
“Jadi Forum ‘Digital & AI: Business War 2026’ dianjurkan bukan sebagai forum biasa, ia adalah simulasi pertempuran strategi dunia sebenar untuk mengajar pengasas bagaimana menangi trafik, menangi naratif, menangani pengguna dan akhirnya menangi jualan,” katanya pada sidang media selepas perasmian forum itu yang disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam forum itu syarikat KNKV Group Sdn Bhd turut diumum sebagai rakan Affiliate TikTok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof Adjung Adam Richman berkata, susulan itu, pihaknya menyasarkan RM100 juta jualan tambahan kepada pelanggannya, dengan lantikan itu menjadi pemangkin kepada strategi lebih tersusun bagi membantu pengasas syarikat dan jenama tempatan mendominasi pasaran digital.
“Kerjasama eksklusif bersama TikTok ini akan dimanfaatkan melalui strategi yang dirangka khas, bertujuan mengubah kehadiran ‘creator based’ di TikTok menjadi saluran jualan berkesan tinggi.
“Diiktiraf sebagai rakan Affiliate TikTok adalah ‘lesen’ untuk kami mempercepatkan kejayaan pelanggan kami, melalui modul dan sokongan ‘affiliate coaching’ yang direka khusus. Ini adalah permulaan era di mana jualan ‘creator-based’ menjadi penyumbang utama pendapatan syarikat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




