Kuasai pasaran, HONOR buka Experience Store ke-100 di Suria KLCC

Kuasai pasaran, HONOR buka Experience Store ke-100 di Suria KLCC

Empat tahun, 100 buah HONOR Experience Store. Itulah rekod pertumbuhan luar biasa yang dibuktikan oleh HONOR hari ini dengan perasmian cawangan terbarunya di Suria KLCC.

Kejayaan ini sekali gus menandakan era baharu bagi jenama itu yang kini menggenggam erat pasaran tempatan.

“Kejayaan pembukaan premis ke-100 di Suria KLCC adalah bukti penerimaan luar biasa rakyat Malaysia dan menjadi detik kebanggaan buat kami,” kata Pengurus Besar HONOR Malaysia, Justin Li.

“Ia melambangkan komitmen kami untuk terus menawarkan teknologi termaju dan inovasi yang benar-benar memberi impak kepada kehidupan harian pengguna.”

Selari dengan kejayaan ini, HONOR turut mengumumkan suntikan dana RM10 juta setahun untuk pasaran Malaysia. Pelaburan strategik ini akan memberi fokus kepada penaiktarafan pengalaman pelanggan di seluruh negara.

Dana tersebut akan digunakan untuk menambah baik zon interaksi di dalam HONOR Experience Store, menyediakan lebih banyak peluang untuk pengguna merasai sendiri kecanggihan peranti, serta menerapkan teknologi pintar bagi pengalaman membeli-belah yang lebih lancar dan moden.

Kuasai pasaran kelas pertengahan premium

Kejayaan ini terbukti apabila laporan firma penyelidikan mengesahkan HONOR kini mengungguli segmen telefon pintar pertengahan premium.

Kuasai pasaran, HONOR buka Experience Store ke-100 di Suria KLCC 

Malah, bagi telefon pintar dalam julat harga RM1,500 hingga RM3,000, satu daripada setiap empat unit terjual adalah peranti HONOR.

“Ini menunjukkan produk kami seperti siri boleh-lipat HONOR Magic V3 berjaya menawan hati pengguna,” jelas Li.

Bagi melengkapkan kejayaan jualannya, HONOR turut meletakkan sasaran untuk menjadi peneraju dalam perkhidmatan selepas jualan.

“Kami menyasarkan untuk memiliki antara 22 hingga 25 pusat servis rasmi menjelang akhir 2025, menjadikannya rangkaian servis rasmi terbesar di Malaysia.

“Sejak 2022, kami telah melancarkan 18 pusat servis dan tiga lagi akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

Rasai sendiri pengalaman menggunakan inovasi terkini HONOR seperti siri telefon boleh-lipat dan HONOR Magic7 Pro di zon pameran yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi HONOR Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top