anbia@hmetro.com.my
Damsyik: Sanggup meninggalkan tugas di klinik milik mereka di Kuala Lumpur selama dua minggu semata-mata untuk menjadi doktor sukarelawan di bumi Syria. Itu komitmen ditunjukkan pasangan doktor, Naveenkumar, 38, dan isteri, Shaliza Mohamad Mannohan, 36, bagi menyertai misi kemanusiaan di negara bergolak ini.
Pasangan terbabit antara individu berhati mulia menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada beratus penduduk di lokasi bergolak di Syria, sejak misi Muslim Care Malaysia (MCM) bermula 19 Februari lalu.
“Saya sebelum ini kerap menyertai misi kemanusiaan antaranya ketika tragedi tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia, pada tahun 2018,” katanya.
Malah, mereka turut pernah menawarkan khidmat rawatan percuma kepada penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak, termasuk khidmat khatan tanpa bayaran.
Bagaimanapun memberikan khidmat rawatan di Syria dianggap pengalaman berbeza berikutan ia dilakukan di kawasan terbuka dan diserbu ramai pesakit serentak.
Pemilik Klinik ZENMED di Setapak, Kuala Lumpur ini berkata, peluang menabur bakti bersama isteri di beberapa lokasi di Syria antaranya di Aleppo, Mukkayam Yarmuk dan Jobar, Damsyik, adalah detik berharga bagi mereka.
“Kami menyediakan terlebih dahulu pelbagai peralatan dan ubat-ubatan yang perlu dibawa khas dari Malaysia. Sepanjang berada di lapangan, kami memberikan pemeriksaan kesihatan dan rawatan percuma kepada pesakit di sebuah pusat tuisyen di Aleppo.
“Rata-rata pesakit di situ menghidap penyakit asma, batuk selesema, alergi dan sakit kulit. Rawatan sama turut diberikan di Joobar, Damsyik, membabitkan pesakit yang menetap di kawasan yang pernah dibom tentera bekas Presiden Bashar Al-Assad.
“Di sini, rata-rata pesakit diperiksa mengidap menyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan kegagalan buah pinggang,” katanya.
Beliau berkata, dia turut merawat kanak-kanak dan remaja di Mukkayam Yarmuk, Damsyik, yang dikesan mengidap autisme dan penyakit Sindrom Behçet (penyakit radang otak dan saraf tunjang).
“Bagi penyakit yang serius, saya memberikan saranan supaya ia dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Berdasarkan pengalaman di sini, kami simpulkan kekejaman dan pengeboman sekian lama dialami rakyat Syria menyebabkan ramai mengalami kecacatan kekal.
“Malah, debu dan habuk yang terhasil akibat letupan bom menyebabkan ramai penduduk mengalami masalah saluran pernafasan serta batuk kronik. Krisis berlarutan sejak tahun 2012 ini turut menjejaskan kesihatan mental selain kesan trauma yang teruk,” katanya,.
© New Straits Times Press (M) Bhd