amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Orang ramai perlu mengurangkan pengambilan gula pasir dan makanan yang tinggi gula.
Ini kerana satu daripada kesan pengambilan gula yang tinggi di Malaysia adalah obesiti, diabetes dan komplikasinya.
Profesor Kesihatan Masyarakat, Prof Dr Osman Ali justeru berkata, sebarang tindakan berasaskan politik termasuk perihal memberikan subsidi gula tidak membantu usaha mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat.
“Maaf sangat, saya tidak berminat dengan langkah-langkah berasaskan politik. Apa yang sewajarnya dilaksanakan untuk membentuk generasi sihat berkaitan pengambilan gula adalah termasuk pendidikan sejak kecil bahawa pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kesihatan di usia dewasa dan tua.
“Membiasakan tabiat yang kurang manis itu lebih sihat. Selain itu, mendidik penyedia (rumah atau kedai) makanan mengurangkan gula dalam makanan.
“Kuat kuasa undang-undang had penggunaan gula dalam minuman dan makanan berproses. Naikkan cukai gula supaya harga gula sesuai dengan keperluan sebenar masyarakat yang dapat mencegah dari penyakit metabolime. Apa pun, perlulah bersederhana dalam pengambilan makanan yang tinggi gula,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa kerajaan sudah memberikan subsidi RM1 untuk sekilogram gula kasar serta halus bermula November tahun lalu secara senyap-senyap.
Ia berikutan, pengeluar gula, MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan menaikkan harga RM2.85 sekilogram untuk gula peket kasar kepada RM3.85 sekilogram selaras dengan kos pengeluaran semakin meningkat.
Ka Siong mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah menyebut apa-apa mengenai subsidi gula di Parlimen pada penghujung tahun lalu tetapi secara tiba-tiba pengeluar gula terbesar MSM menerima sejumlah besar subsidi daripada kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dilaporkan berkata, usaha mengembalikan subsidi gula dalam kuantiti yang besar didakwa sebagai langkah mundur dalam reformasi kerajaan ke arah menghapuskan subsidi menyeluruh.
“Langkah memberikan subsidi RM1 ini juga mampu menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia. Untuk masa akan datang, ia juga dilihat mampu mengurangkan kos perubatan negara.
“Mengikut pengiraan saya, subsidi RM1 bagi sekilogram gula yang diperkenalkan ini akan menambah beban sekitar RM500 hingga RM600 juta setahun kepada perbelanjaan kerajaan.
“Justeru, saya cadangkan kepada kerajaan supaya meneliti semula dan mempertimbangkan pembatalan subsidi gula ini demi kebaikan kesihatan rakyat dan kelestarian dasar sedia ada,” kata Ka Siong dalam kenyataan di media sosialnya, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
