Kuching City calar maruah Harimau Kumbang

Kuching City calar maruah Harimau Kumbang

sukan@hmetro.com

Georgetown: Kuching City FC meneruskan rentak kemenangan selepas menundukkan Penang 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Anak buah Aidil Sharin Sahak menerusi gandingan Joao Pedro, James Okwuosa, Yuki Tanigawa dan Ramadhan Saifullah lebih mendominasi tempo permainan namun Penang bertahan dengan baik.

Sementara itu, kem tuan rumah mempunyai deretan peluang menjaringkan gol awal antaranya menerusi Tchetche Kipre, Oj Porteria dan sepakan percuma pemain sayap lincah, Dylan Wenzel-Halls tetapi semuanya gagal menemui sasaran.

Kuching City nyaris membuka akaun jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan Adib Ra’op di luar kotak penalti namun percubaan pemain penyerang itu gagal menghasilkan gol apabila rembatannya dipatahkan benteng Penang.

Gabriel Nistelrooy akhirnya meledak gol tunggal pelawat pada minit ke-40 selepas memanfaatkan situasi kekeliruan di depan pintu gol lawan apabila penjaga gawang Penang, Ramadhan Ab Hamid meluru keluar merebut bola.

Ketika itu Kapten Penang, Stefano Brundo dilihat terlambat mengeluarkan bola dari zon bahaya ketika cuba menyekat kemaraan Ronald Ngah Wanja yang sudah berada begitu hampir di depan pintu gol tuan rumah.

Namun, pengadil S Logeswaran tidak segera mengesahkan jaringan itu dengan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) beberapa minit kemudian mendapati tiada kekasaran berlaku sebaliknya gol itu berpunca daripada kegagalan komunikasi antara pemain Penang sendiri.

Babak kedua menyaksikan Penang terus bergelut merapatkan kedudukan, namun Kuching City membuktikan kualiti berbeza untuk mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat di hadapan 804 penonton yang setia ke stadium memasuki malam ke-25 Ramadan ini.

Kuching City kini menghuni tangga kedua dalam carta Liga Super dengan mengutip 40 mata berada di atas Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang masing-masing mengumpul 39 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top