Kuching City mengganas di Selayang belasah PDRM

Kuching City mengganas di Selayang belasah PDRM

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kuching City FC terus menghambat dua pasukan teratas Liga Super apabila merakam kemenangan besar ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan 5-0 di tempat lawan itu membolehkan anak buah Aidil Sharin Sahak mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.

Ketika ini, Kuching City mengumpul 17 mata daripada lapan aksi dilalui setakat ini dan dianggap antara pencabar utama kejuaraan musim ini.

Begitupun nasib berbeza dialami skuad The Cops apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk cuba meraih mata.

Ia juga adalah kekalahan keempat dilalui musim ini untuk kekal berada di pertengahan liga dengan sekadar enam mata.

Dalam perlawanan itu, Kuching City yang akan bertemu JDT di peringkat separuh akhir pertama Piala FA pada Sabtu depan tampil cukup sempurna untuk mendominasi aksi.

Ia terbukti apabila pelawat mendahului empat gol sepanjang babak pertama menerusi jaringan Yuki Tanigawa sebelum Ronald Ngah Wanja meledak tiga gol untuk melakar hatrik.

Momentum sama dikekalkan pada babak kedua, dengan Ramadhan Saifullah memanfaatkan sepakan penalti yang diterima bagi menambah tekanan kepada pasukan tuan rumah.

Lima gol itu kekal dan ia memberi suntikan motivasi terbaik buat Kuching City yang akan menempuh saingan lebih getir di separuh akhir Piala FA hujung minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top