Kuching City perjelas isu pendaftaran Scott Woods

Kuching City perjelas isu pendaftaran Scott Woods

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Kuching City FC (KCFC) tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu tular membabitkan status pendaftaran pemain mereka, Scott Woods dalam aksi Liga Super menentang Penang FC, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi All Hassan menerusi kenyataan hari ini berkata, penjelasan dibuat bagi mengelakkan sebarang spekulasi berpanjangan dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

Menurutnya, pihak pengurusan membawa seramai 20 pemain ke Pulau Pinang bagi menghadapi perlawanan itu termasuk Woods, manakala Danial Amier tidak bersama pasukan kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan di Kuching.

Beliau menjelaskan, pada hari perlawanan, KCFC menghantar senarai rasmi 20 pemain untuk didaftarkan dengan nama Woods disenaraikan, manakala nama Danial Amier tidak dimasukkan dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, berlaku ralat teknikal apabila senarai pendaftaran rasmi menyaksikan nama Woods tercicir dan digantikan dengan nama Danial Amier yang ketika itu tidak berada bersama pasukan di venue perlawanan.

Mengulas lanjut, Iswandi berkata, berdasarkan prosedur operasi standard kiraan detik ke sepak mula, pegawai perlawanan sepatutnya melakukan pengesahan akhir di bilik persalinan dengan memeriksa nama serta nombor pemain yang berdaftar.

Namun, menurutnya, proses pengesahan itu tidak dilaksanakan oleh pegawai bertugas dalam perlawanan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada kekeliruan yang berlaku.

Beliau memaklumkan Woods berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran daripada pegawai perlawanan walaupun hanya pemain berdaftar dibenarkan berada di kawasan itu.

Malah, pada minit ke-90 permainan, pertukaran pemain dilakukan dengan memasukkan Woods ke dalam padang dan tindakan itu diluluskan tanpa sebarang bantahan atau makluman mengenai isu pendaftaran.

Mengulas insiden itu, Iswandi menegaskan pihak kelab akan terus berpegang kepada prinsip profesionalisme serta sentiasa bersedia berdepan cabaran dalam arena bola sepak negara.

“Kami akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan perkara ini diselesaikan mengikut saluran yang betul dan profesional,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top