Kuching City sah tamat kontrak Palmero, tunggu keputusan MFL isu teknikal pemain

Kuching City sah tamat kontrak Palmero, tunggu keputusan MFL isu teknikal pemain

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Kuching City FC mengesahkan kontrak pemain kontroversi, Gabriel Palmero ditamatkan secara bersama selepas keputusan penggantungan dikenakan ke atas pemain berkenaan.

Presidennya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama antara kedua-dua pihak beberapa hari selepas hukuman diumumkan.

“Selepas berbincang, kita mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak dan beliau kini membawa haluan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri hari keempat di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini,hari ini.

Menurutnya, pihak kelab sudah mengambil kira risiko sebelum ini termasuk kemungkinan berlakunya isu berkaitan status pemain.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan Palmero bukan lagi pemain Kuching City dan tidak terikat dengan pasukan itu ketika ini.

Mengulas isu berasingan, Fazzrudin berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menyiasat kemungkinan berlaku kesilapan teknikal dalam pendaftaran pemain.

Katanya, terdapat situasi membabitkan pemain yang telah didaftarkan oleh pasukan namun tidak disenaraikan oleh pegawai perlawanan.

“Kita sudah mengisi dan menyerahkan pendaftaran pemain, tetapi berlaku keciciran nama ketika senarai rasmi perlawanan dikeluarkan.

“Sebaliknya, nama pemain lain dimasukkan walaupun beliau tidak bersama pasukan ketika itu,” katanya.

Beliau menambah, terdapat sekurang-kurangnya dua kes terdahulu yang menjadi precedent apabila kesilapan teknikal pegawai perlawanan diterima dan diperbetulkan.

“Kita akan terus berjuang berdasarkan peraturan sedia ada dan berharap MFL meneliti perkara ini dengan sewajarnya serta memberikan penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Fazzrudin berkata fokus utama kelab ketika ini adalah memastikan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kekal bersama pasukan.

Katanya, perbincangan bersama jurulatih itu menunjukkan perkembangan positif dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

“Kita beri kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih dalam soal pemilihan pemain termasuk bagi jendela perpindahan akan datang,” katanya.

Mengulas persiapan pasukan, beliau berkata Kuching City akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Singapura sebagai persediaan menghadapi aksi menentang Selangor FC pada 4 haribulan depan.

Beliau turut meminta penyokong, khususnya rakyat Sarawak di Semenanjung, terus memberikan sokongan kepada pasukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top