Kuching City, Sri Pahang kongsi mata

Kuching City, Sri Pahang kongsi mata

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebangkitan luar biasa Sri Pahang FC (SPFC) pada saat akhir menyebabkan Kuching City FC (KCFC) berputih mata untuk meraih kemenangan sulung musim ini selepas seri 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Fandi Ahmad menghimpun empat mata, sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Super di belakang Sabah FC dengan jumlah mata, jaringan dan bolos sama.

KCFC memecah kebuntuan pada minit ke-19 selepas Tchetche Kipre memanfaatkan peluang menerusi situasi kelam-kabut dalam kotak penalti dan meskipun mendapat protes pemain SPFC, jaringan itu disahkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Seminit berselang, tuan rumah terus bersemangat memburu gol kedua dan Kipre terus mengucar-kacirkan pertahanan SPFC dengan melancarkan percubaan, mujurlah rembatannya tepat ke kaki Zarif Irfan Hashimuddin.

KCFC terus selesa menuju ke bilik persalinan selepas tandukan Jordan Mintah menerjah ke gawang SPFC untuk memberikan kelebihan dua gol buat mereka selepas 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, peluang terbaik SPFC hadir pada minit ke-54 menerusi percubaan Ruziev Kuvondik, namun rembatannya diselamatkan Wan Azraie Wan Teh disusuli tandukan Stefano Brundo yang tersasar dua minit kemudian.

Pelawat mengurangkan defisit pada minit ke-62 menerusi tandukan Adam Nor Azlin sebelum SPFC dikecewakan dengan VAR yang membatalkan jaringan Brundo pada minit ke-66 apabila ada pemain mereka berada dalam keadaan ofsaid sebelum jaringan dilakukan.

Hidalgo mencetak gol penyamaan pada minit ke-76, namun VAR sekali lagi ‘masuk campur’ dan SPFC menarik nafas lega apabila jaringan itu disahkan.

Tiada tambahan jaringan dapat dilakukan meskipun masa tambahan 12 minit diberikan, sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Selepas ini, KCFC akan berdepan Sabah FC bagi ‘Derbi Borneo’ sementara minggu perlawanan ketiga menjadi giliran SPFC untuk berehat memandangkan saingan musim ini menampilkan 13 pasukan sahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top