Edinburgh: Kucing yang menghidap demensia (nyanyuk) mengalami perubahan otak yang serupa dengan pesakit Alzheimer (demensia atau nyanyuk progresif), sekali gus menawarkan model yang berharga untuk mengkaji keadaan itu pada manusia, menurut satu kajian.
Science Daily melaporkan, saintis menemukan pembentukan protein toksik ‘amyloid-beta’ di dalam otak kucing yang mengalami keadaan itu, salah satu ciri utama penyakit Alzheimer.
Pakar berkata, penemuan itu menawarkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana ‘amyloid-beta’ boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak berkaitan usia dan kehilangan ingatan pada kucing.
Kebanyakan kucing yang lebih tua menghidap demensia, menyebabkan perubahan tingkah laku seperti lebih kerap mengiau, keliru, dan gangguan tidur simptom yang serupa dengan yang dilihat pada pesakit Alzheimer.
Saintis di Universiti Edinburgh meneliti otak 25 kucing pelbagai usia selepas ia mati, termasuk yang mempunyai tanda-tanda demensia.
Imej mikroskop berkuasa tinggi mendedahkan pembentukan ‘amyloid-beta’ di dalam sinaps sambungan antara sel-sel otak pada kucing yang lebih tua dan yang menghidap demensia.
Sinaps membolehkan aliran mesej antara sel-sel otak dan penting untuk fungsi otak yang sihat. Kehilangannya sangat berkait rapat dengan kemerosotan daya ingatan dan kebolehan berfikir pada manusia yang menghidap penyakit Alzheimer.
Pasukan penyelidik juga menemukan bukti bahawa ‘astrocytes’ dan ‘microglia’ sejenis sel sokongan dalam otak menelan atau ‘memakan’ sinaps yang terjejas. Proses ini, yang dipanggil pemangkasan sinaps, adalah penting semasa perkembangan otak tetapi boleh menyumbang kepada kehilangan sinaps dalam kes demensia.
Pakar berkata, penemuan itu bukan sahaja akan membantu untuk memahami dan menguruskan demensia pada kucing tetapi, memandangkan persamaannya, ia juga boleh menyumbang kepada pembangunan rawatan masa depan untuk pesakit Alzheimer.
Sebelum ini, saintis yang mengkaji penyakit Alzheimer banyak bergantung pada model tikus yang diubah suai secara genetik.
Tikus tidak mengalami demensia secara semula jadi, dan mengkaji kucing dengan demensia berpotensi untuk memajukan pengetahuan dan membantu membangunkan rawatan untuk kucing dan manusia.
Kajian itu, yang dibiayai oleh Wellcome dan Institut Penyelidikan Demensia UK, diterbitkan dalam jurnal European Journal of Neuroscience. Pasukan penyelidik termasuk saintis dari Universiti Edinburgh dan California, Institut Penyelidikan Demensia UK, dan Scottish Brain Sciences.
Ketua kajian, Dr Robert McGeachan dari Sekolah Pengajian Veterinar Diraja (Dick) Universiti Edinburgh berkata: “Demensia adalah penyakit yang memusnahkan sama ada ia menjejaskan manusia, kucing, atau anjing. Penemuan kami menonjolkan persamaan yang ketara antara demensia kucing dan penyakit Alzheimer pada manusia.”
“Ini membuka pintu untuk meneroka sama ada rawatan baharu yang berpotensi untuk penyakit Alzheimer manusia juga boleh membantu haiwan peliharaan kita yang semakin tua.
“Oleh sebab kucing secara semula jadi mengalami perubahan otak ini, ia mungkin menawarkan model penyakit yang lebih tepat berbanding haiwan makmal tradisional, yang akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua spesies dan penjaga mereka,” katanya.
Profesor Danièlle Gunn-Moore, Pengerusi Perubatan Felin di sekolah veterinar yang sama berkata: “Demensia kucing amat menyedihkan bagi kucing dan pemiliknya. Dengan menjalankan kajian seperti inilah kita akan memahami cara terbaik untuk merawat mereka. Ini akan menjadi sesuatu yang hebat untuk kucing, pemiliknya, pesakit Alzheimer, dan orang yang mereka sayangi. Demensia kucing adalah model semula jadi yang sempurna untuk Alzheimer, semua orang mendapat manfaat.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




