hafizithnin@mediaprima.com.my
WANITA berusia 41 tahun ini mempunyai identiti yang cukup kuat dari segi kerjaya dan pendidikan.
Dia adalah pengarah urusan dan pemilik syarikat pembinaan landskap.
Malah, anak kedua daripada tiga beradik kelahiran Negeri Sembilan ini mempunyai pendidikan sehingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang arkitek landskap dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 2022.
Di sebalik kerjaya dan pendidikan yang bersinar itu, Dr Siti Zubaidah Abu Kasim sebenarnya mempunyai sisi lasak yang lain iaitu minat menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Motosikalnya juga bukan calang-calang jenama dan harganya pula mencecah RM75,000 seunit yang dimilikinya sejak dua tahun lalu.
Sebenarnya minat itu mula berputik sejak dia kecil apabila melihat bapa, Abu Kasim Baba yang juga anggota polis berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Lebih mesra disapa Siti katanya, sejak itu dia memasang impian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi kerana ia dilihat sesuatu yang boleh memberi kepuasan peribadi. Apatah lagi, dia merasakan menunggang motosikal itu seakan-akan mencipta keperibadian ketegasan dan keberanian tersendiri.
“Sejak saya di universiti ketika itu di peringkat ijazah sarjana muda, saya sudah pun memiliki sebuah skuter pemberian arwah ayah. Apabila saya sudah menamatkan pengajian dan mula bekerja saya membeli kereta dan sebuah skuter.
“Namun, impian memiliki motosikal berkuasa tinggi tidak pernah pudar. Sehingga pada usia 35 tahun, saya mula membeli motosikal berkuasa tinggi pertama iaitu KTM Duke 250cc. Pada dua tahun lalu pula saya memiliki Ducati Monster 800cc,” katanya.
Katanya, lebih menarik aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi itu dilakukan bersama rakan wanita yang mempunyai minat sama menerusi Kelab KTM Ladies Crew (KLC).
“Dalam kelab ini kami adalah wanita yang aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi. Walaupun namanya kelab motosikal jenama KTM dan hanya saya seorang yang menunggang Ducati, tetapi mereka tidak kisah kerana ia dapat mengeratkan lagi hubungan peminat motosikal berkuasa tinggi dalam kalangan wanita di negara ini,” katanya.
Biasanya dia mengikuti konvoi bersama ahli kelab itu dua minggu sekali ke pelbagai destinasi dalam negara.
“Saya hanya menunggang motosikal ini secara berkonvoi kerana bagi saya lebih selamat memandangkan pergerakan kami mempunyai marsyal dan ‘sweeper’ yang berperanan memastikan keselamatan ahli ketika berkonvoi selamat di atas jalan raya.
“Paling jauh saya pernah berkonvoi dari Nilai, Negeri Sembilan ke Ipoh, Perak. Kadangkala kami berkonvoi ke destinasi yang dekat sahaja, tetapi bermalam kerana ia adalah aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan sesama ahli,” katanya.
Katanya, menyertai kelab motosikal besar itu juga membolehkan dia menimba ilmu dan pengalaman daripada rakan-rakan yang lain dari segi kemahiran mengendalikan jentera itu dan mendapatkan alat ganti motosikal.
Akuinya juga, menunggang motosikal berkuasa tinggi memerlukan kemahiran pengendalian yang cukup berbeza dengan motosikal lain terutama dari segi saiznya.
“Saiz motosikal berkuasa tinggi ini sememangnya lain dan kita perlu mencari yang sesuai dengan ketinggian masing-masing. Selain itu, ia juga berat, jadi amat memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya supaya tidak berlaku kemalangan.
“Tidak sekadar itu, sebagai pengguna kita juga perlu mempunyai ilmu asas untuk mengetahui cara membetulkan motosikal jika berlaku kerosakan seperti menukar tayar. Jadi, apabila berlaku kerosakan kecil kita tahu mengendalikannya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan katanya, ketika menunggang motosikal secara berkonvoi ke Ipoh, motosikalnya mengalami kerosakan.
“Kejadian itu berlaku jam 7 malam dan saya maklumkan kepada rakan-rakan lain untuk meninggalkan saya sahaja sementara menunggu kenderaan trak tunda.
“Mereka tidak meninggalkan saya sendirian sehingga jam 12 tengah malam dan itu menyebabkan saya amat tersentuh kerana semangat setia kawan wanita dalam kumpulan ini amat kuat,” katanya.
Jelasnya, membawa motosikal berkuasa tinggi memberi kepuasan tersendiri terutama dapat melepaskan rasa penat bekerja. Selain, itu menunggang motosikal berkuasa besar mempunyai pengalaman cukup berbeza dengan kereta.
“Jika kita memandu kereta, contohnya 120 kilometer sejam, ia berbeza ketika menunggang motosikal dengan kadar laju yang sama kerana memerlukan kemahiran untuk memastikan motosikal itu dalam keadaan stabil ketika dikendalikan.
“Selain itu, kepuasannya adalah saya dapat berjumpa rakan-rakan wanita yang mempunyai minat sama. Kami bukan sahaja berkongsi kisah minat motosikal, malah hal lain yang boleh memberi dorongan motivasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




