
Muhammad Nasir (lima dari kanan) bersama Mohd Amirul yang mengungguli Tali Pinggang MSWP Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada malam Sabtu. – Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
KELAB Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar kejayaan cemerlang apabila menyapu bersih tiga gelaran Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Petinju berpengalaman, Mohd Shalihem Mohamad merangkul Tali Pinggang DZ Travel selepas menumbangkan Amir Suputra dalam aksi dramatik kurang dua minit apabila lawan dari Indonesia itu mengalami kecederaan di dahi akibat disiku.
Mohd Amirul Ariffin pula meraih Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) selepas menewaskan Can Sek dari Laos menerusi kemenangan secara kiraan mata dalam pertarungan tiga pusingan.
Bakat baharu Nizam Maarof Jeoffery pula memenangi Trofi Sup Meletup selepas menyingkirkan petinju Tebuan Mas Kedah, Shazwan Ahmad Sheir Mohamad yang tewas akibat pukulan ‘knockout’ pada pusingan pertama.



